RM2.4 bilion kepada FELDA, RISDA, FELCRA jaga kebajikan peneroka
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.4 bilion kepada FELDA, RISDA dan FELCRA bagi memastikan perlindungan berterusan kepada lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil dan keluarga mereka, kata Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan kejayaan pengambilalihan FGV untuk kembali bersama FELDA adalah bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam mendengar denyut nadi warga peneroka, dengan harapan agar FELDA kembali mengangkat martabat peneroka ke tahap kejayaan yang lebih tinggi.
''Syarikat pemula niaga (start-up) diberi peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menghasilkan produk mekanisasi dan automasi, dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta syarikat-syarikat utama dalam industri sawit.
''Nasib pekebun kecil, getah, sawit, koko, lada dan kernaf terus dibela kerana (kerajaan) mengiktiraf usaha mereka membanting tulang mencari rezeki.
''Maka peruntukan ditambah kepada RM120 juta,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu sewaktu membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan Rakyat'.
Ia merupakan belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.