RM15 bilion hasil penalti, rampasan SPRM, LHDN dimasuk ke dana konservatif
- Suara Keadilan
- 2 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kesemua wang hasil rampasan dan kutipan penalti melalui agensi penguatkuasa antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam Diraja Malaysia telah dimasukkan ke dalam dana konservatif.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan membelanjakan wang berkenaan mengikut takrifan belanjawan bagi sektor antaranya pendidikan, pertahanan dan kesihatan.
"Jadi jangan bimbang, wang itu tidak tercicir. Wang itu keseluruhannya ‘on record’.
"Kesemuannya dimasukkan dan saya nak maklumkan di sini, (kini) mereka hanya lapor berkala kepada saya.
"Ada satu ketika dalam beberapa bulan di peringkat awal disebabkan masalahnya terlalu rumit, (jadi) saya adakan perjumpaan hampir setiap minggu dengan SPRM, LHDN, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Kastam dan agensi-agensi terlibat.
"(Pertemuan) itu untuk memberikan mereka keyakinan bahawa kepimpinan MADANI tidak akan berkompromi (dengan salah laku), malah akan melindungi mereka (penguatkuasa), apa yang diperlukan, kita akan sediakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa [BN-Tampin] yang ingin tahu jumlah terkini hasil rampasan dan kutipan penalti yang diperolehi oleh semua agensi penguatkuasa Kerajaan dan langkah-langkah yang diambil dalam memperkukuh usaha membanteras ketirisan hasil.
Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, kesemua wang itu telah dimasukkan ke dalam dana konservatif kecuali yang sebahagiannya masih dalam bentuk aset.
"Aset itu sebahagiannya masih belum dijana untuk dipulangkan kepada kerajaan, tapi yang tunai telah masuk," ujar beliau yang juga Menteri Kewangan.
Untuk rekod, Kerajaan MADANI pimpinan Anwar berjaya mengutip sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh 2024 dan 2025, hasil daripada tindakan rampasan dan kutipan penalti pihak berkuasa negara.
Kutipan tersebut mencatat sejarah tersendiri hasil daripada tatakelola yang baik dilakukan oleh kerajaan.
Perkara berkenaan dimaklumkan Anwar yang juga Presiden KEADILAN ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat 10 Oktober lalu





