top of page

RM100 bukan sekadar bantuan, petanda ekonomi negara pulih, berkembang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 26
  • 2 min read

ree

Pemberian RM100 melalui bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini bukanlah bantuan biasa tetapi suatu isyarat bahawa ekonomi negara telah pulih dan sedang berkembang.


Menurut aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali (gambar) pemberian kepada 22 juta warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas itu hanya boleh dilakukan oleh kerajaan yang mempunyai cukup dana.


"RM100 bukan satu bentuk kebajikan semata-mata. Ia ialah pengiktirafan berasaskan prestasi ekonomi yang kini membuahkan hasil dipimpin oleh PMX Anwar Ibrahim. Kita tidak lagi berada dalam fasa pemulihan pasif.


"Malaysia, sejak 2023, telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang berstruktur, konsisten dan berkualiti," katanya dalam satu kenyataan menjawab tulisan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari yang mempertikai pemberian RM100 kepada rakyat Malaysia.


Pemulihan ekonomi berkualiti itu, kata Hisyamuddin yang juga dikenali sebagai Syam Ghaz ditandani dengan pelaburan tertinggi dalam sejarah iaitu RM384 bilion pada 2024, naik 17% berbanding tahun sebelumnya. Ringgit mengukuh 5% berbanding dolar Amerika Syarikat, kini RM4.23/AS$, antara terbaik di Asia dan juga Malaysia naik 11 anak tangga ke tangga ke‑23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025.


"Jadi bantuan RM100 ini adalah pantulan kepada keyakinan fiskal dan bukan sekadar gimik. Ia adalah peringatan bahawa pertumbuhan ekonomi mesti bersambung dengan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar angka makroekonomi," ujarnya.


Bantuan itu juga, kata Syam Ghaz merupakan suntikan tunai ke dalam pasaran yang akan meligatkan putaran ekonomi terutama dalam kalangan sektor runcit di negara ini.


Menurutnya, suntikan itu walaupun bersifat sementara tetapi merangsang sentimen pengguna dan membantu merancakkan aktiviti perniagaan mikro seperti kedai runcit, warung, pasar tani dan pengusaha tempatan.


"Bukan semua polisi fiskal perlu bersifat mega atau struktural. Ada waktunya, suntikan kecil tetapi meluas mampu menyentuh denyut nadi rakyat," ujar beliau.


Dalam pada itu, Syam turut membandingkan pemulihan ekonomi yang berjaya dicapai di bawah PMX berbanding situasi ekonomi di bawah pentadbiran Pas, terutama di Kelantan di kawasan kedua dua wakil rakyat Pas tersebut memegang kerusi.


Katanya, negeri Kelantan terus tertinggal dan tidak mampu dibangunkan ekonominya oleh ahli politik Pas sejak empat dekad lalu.


Pelaburan yang masuk ke Kelantan, kata beliau, hanya RM1.1 bilion tahun ini berbanding negeri Pahang yang ditadbir BN sebanyak RM4 bilion.


Pendapatan per kapita penduduk juga relatif rendah dengan Kuala Lumpur mencatat RM135.8 ribu, Selangor RM65.6 ribu tetapi Kelantan hanya RM17.3 ribu.


"Maknanya, ada negeri yang telah terkebelakang terlalu lama, dan RM100 ini juga sampai ke mereka tanpa diskriminasi politik," sinis Syam.


Hakikatnya, kata beliau, PMX tidak memilih untuk menyogok rakyat dengan kemewahan. Beliau memilih untuk menyambut mereka dengan harapan. Dan harapan, kata Syam, adalah modal paling ampuh mengembalikan keyakinan rakyat kepada PMX.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page