Kerajaan Perpaduan hari ini mengumumkan bantuan bagi memperkemaskan pengurusan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) masing masing RM1 juta.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan tersebut bagi menghargai kesatuan sekerja yang sering menuntut dan menyuarakan hal hal pembelaan kebajikan pekerja kepada kerajaan.
"Kerana menghormati dan mengiktiraf peranan kedua dua peranan kesatuan gergasi negara kita ini, saya nak pastikan pengurusan badan badan ini lebih kemas dan cekap.
"Saya akan tambah RM1 juta kepada MTUC dan RM1 juta kepada CEUPACS sebagai permulaan," katanya dalam merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), siang tadi.
Presiden KEADILAN itu berkali kali mengulang dasar yang diperjuangankan beliau sebelum dilantik sebagai PM untuk membela pekerja terutamanya di peringkat bawahan.
Beliau dengan itu menggalakkan pekerja menuntut lebih baik untuk kebajikan mereka.
"Dia boleh tuntut dan saya setuju sangat dengan kebanyakan tuntutan pekerja. Kadang kadang kerana sistem di negara kita, ini saya minta rakan rakan dalam MEF faham. Tanpa rasa selesa di kalangan pekerja, tanpa membangunkan suasana yang baik untuk persekitaran pekerja, produktiviti tidak akan meningkat.
"Kalau tuntutan pekerja itu keterlaluan maka pelaburan tidak akan sampai. Tetapi kalau sikap majikan terlalu mementingkan keuntungan maka tidak akan ada harmoni dalam negara.
"Keseimbangan ini harus dipertahankan. Kita mahu pelaburan, kita mahu majikan mencatat keuntungan tetapi kita juga mahu nasib pekerja dibela dengan baik," ujarnya.
Berkenaan upah dan gaji yang tidak meningkat, Pengerusi Pakatan Harapan itu menegur majikan yang tidak begitu peka dengan jerih payah pekerja dalam meningkatkan produktiviti tetapi kurang dipedulikan bayaran harga yang setimpal.
"Saya telah gesa dan pesan perkara ini. Ada ketikanya kerajaan campurtangan, kita beri insentif, kemudahan percukaian yang baik.
"Saya dan Jemaah Menteri punyai dasar yang jelas untuk menarik pelaburan, kemudahan untuk menjalankan perniagaan semua kita robah. Ini Kerajaan Madani bukan mewakili dan mewarisi sistem yang lama. Kita mahu lebih efisien. Pelabur harus faham ini Malaysia Madani mesti prihatin terhadap nasib pekerja dalam negara kita.
"Kita juga teliti tuntutan MTUC dan CEUPACS umpamanya gaji penjawat awam, upahnya. Yang pertama saya sebut, saya tahu upah penjawat awam di peringkat rendah dan menengah tidak memuaskan, sudah sampai ketikanya kita buat penilaian semula," katanya lagi.
Sebelum itu, PM berjalan di tempat duduk hadirin dan bersalam dengan pekerja yang hadir ke perhimpunan tersebut seberapa ramai yang boleh. Hal itu merupakan kelainan daripada mana mana PM sebelum ini yang terus berucap di atas pentas.
Comments