RM1 bilion tangani kos sara hidup bukti keprihatinan kerajaan
- Suara Keadilan

- Oct 11
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menjadi bukti komitmen Kerajaan MADANI memperkasa kesejahteraan rakyat dan memacu ekonomi ke arah pertumbuhan mampan.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata belanjawan terbesar negara itu menzahirkan usaha kerajaan memastikan pertumbuhan inklusif, memperkukuh rantaian bekalan domestik dan melindungi golongan berpendapatan rendah serta sederhana daripada tekanan kos sara hidup.
"Belanjawan ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi adil dan mampan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan berdaya tahan dan berorientasikan rakyat," katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Jumaat mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi menangani kos sara hidup termasuk RM600 juta untuk Program Payung Rahmah di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
Untuk Sabah dan Sarawak, Kerajaan MADANI membuktikan komitmennya untuk memastikan tiada rakyat terpinggir apabila memperuntukkan RM250 juta bagi menampung kos pengedaran barangan asas di kawasan pedalaman negeri-negeri tersebut.
Sementara itu menurut Dr Fauziah, pihaknya turut menyambut baik peruntukan RM20 juta bagi memperkasa Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan penandaan logo “Buatan Malaysia” yang akan mengukuhkan lagi identiti produk tempatan di pasaran global.
"Justeru, KPDN akan memainkan peranan penting menjayakan agenda Belanjawan 2026, termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi yang dijangka menjimatkan RM7.5 bilion bagi diesel dan RON95 bagi mengurangkan ketirisan serta memperkukuh daya saing ekonomi negara," tegasnya.









Comments