RM1.5 bilion untuk Sabah: Bukti nyata keprihatinan PM - Mustapha
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menyambut baik pengumuman peningkatan bayaran interim Pemberian Khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, peningkatan itu mencerminkan kesungguhan berterusan kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memastikan hak Sabah diberi perhatian secara berperingkat, tersusun dan bertanggungjawab.
"Peningkatan konsisten ini membuktikan suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.
"Usaha ini wajar dihargai kerana ia menunjukkan Kerajaan MADANI bukan saja mendengar suara rakyat Sabah, malah mengambil langkah konkrit bagi memperkukuh kedudukan negeri itu dalam Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri menerusi ucapan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Penampang semalam mengumumkan geran khas bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sementara itu Mustapha menjelaskan, sebelum perubahan kerajaan Persekutuan pada 2022, Sabah hanya menerima kira-kira RM26.7 juta setahun selama beberapa dekad walaupun tuntutan 40 peratus hasil negeri termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah pentadbiran Anwar, jumlah bayaran khas kepada Sabah menunjukkan peningkatan ketara apabila meningkat kepada RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023 dan 2024, sebelum dinaikkan kepada RM600 juta bagi 2025 dan 2026.
"Saya yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan semangat Malaysia MADANI, agenda memperkasa Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan," katanya.




Comments