Oleh: Azuan Ab Rahman
Jumlah rizab simpanan negeri Selangor mencatatkan peningkatan meskipun Kerajaan Negeri memperuntukkan jumlah perbelanjaan yang besar untuk kebajikan rakyat.
Menurut Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari, peningkatan ketara itu boleh dilihat setiap tahun sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran daripada Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Azmin Ali.
"Dulu masa Pilihan Raya Negeri cakap zaman dia (Azmin) rizab rendah sebab dia belanja banyak. Marah dekat saya sebab kononnya rizab tinggi tapi tak belanja. Sekarang nak claim kata zaman dia rizab tinggi.
"Min (Azmin) nak yang mana satu ni Min? Kenapa asyik tukar-tukar ayat sampai rakyat pun keliru, celaru dan kabur.
"Realitinya, Azmin Ali mengurangkan rizab simpanan negeri, tapi perbelanjaan inisiatif kebajikan untuk rakyat tidak juga bertambah. Ke mana?," tanyanya dalam hantaran di Facebooknya.
Hantaran itu bagi menyangkal dakwaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang tersebut kononnya Kerajaan Negeri tidak berbelanja untuk rakyat.
Menurut Amirudin, rizab simpanan semasa Azmin mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2015 menurun dari RM3.26 bilion kepada RM2.14 bilion pada 2018.
Jumlah itu kemudian meningkat pada kedudukan tertinggi selepas beliau mengambil alih pentadbiran iaitu RM3.4 bilion pada tahun ini.
"Perbelanjaan inisiatif kebajikan rakyat juga berbeza dengan RM2.37 bilion berbanding RM1.3 bilion pada zaman Azmin," tambahnya.
Kommentare