top of page

RIUH x ASEAN 2025 gegar himpun komuniti kreatif serantau

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 15
  • 2 min read

RIUH x ASEAN 2025 acara kreatif terbesar di Asia Tenggara. Kredit ilustrasi: The Star
RIUH x ASEAN 2025 acara kreatif terbesar di Asia Tenggara. Kredit ilustrasi: The Star

Oleh: Helmi Foad


Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures bakal menganjurkan program RIUH x ASEAN 2025, acara kreatif terbesar di Asia Tenggara di Kuala Lumpur bermula 17 hingga 26 Oktober depan sebagai inisiatif berskala besar dengan membuka ruang kerjasama rentas negara yang menjana peluang baharu dalam komuniti kreatif.


MyCreative Ventures dalam kenyataan berkata, program yang diumumkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil itu turut menghimpunkan usahawan serantau, elemen seni, kreativiti, muzik dan keusahawanan dari Malaysia dan negara anggota ASEAN.


"Salah satu komponen utama, RIUH x ASEAN Marketplace akan diadakan di ibu negara bermula 22 hingga 26 Oktober depan bakal membawakan lebih 200 jenama dan 100 vendor makanan dan minuman dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.


"Turut serta, lebih 40 persembahan pentas, 30 bengkel interaktif dan 20 pengaktifan kreatif iaitu platform sesi jaringan industri para usahawan dan penggiat kreatif dari pelbagai negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


MyCreative Ventures ialah cabang pelaburan kerajaan yang ditubuhkan untuk merangsang industri kreatif Malaysia melalui pembiayaan yang berdaya maju dan inovatif.


Kenyataan itu berkata penyertaan kepada pengusaha jenama tempatan akan dibuka bermula 1 September 2025 hingga 1 Oktober depan.


Selain itu jelasnya aktiviti pop-up “RIUH Gallery” bermula 1 Oktober (tertakluk kepada tarikh-tarikh khusus yang akan diumumkan) di lokasi strategik sekitar Lembah Klang merangkumi persembahan muzik indie, komedi, sesi sastera, puisi (spoken word) serta pameran seni visual.


"Inisiatif ini memberi ruang kepada bakat tempatan untuk berkarya dan berinteraksi dengan khalayak," ujarnya.


Turut diperkenalkan FrequenSEA, persidangan muzik ASEAN julung-julung kalinya diadakan pada 21 dan 22 Oktober di Kuala Lumpur.


Persidangan percuma dan terbuka untuk orang ramai ini menyasarkan lebih 200 peserta termasuk pemuzik, penerbit, pencipta kandungan dan pemimpin industri bagi membincangkan masa depan industri muzik Asia Tenggara, kata MyCreative Ventures.


Maklumat lanjut mengenai RIUH x ASEAN boleh didapati di https://baskl.com.my/ serta Instagram dan Facebook @riuhinthecity dan @mycreativeventures.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page