top of page

‘Ringgit mengukuh bukti pelabur luar yakin ekonomi negara’ - Dr Barjoyai

Updated: Sep 24


Oleh: Abdullah Zaid


Prestasi ringgit terus menerus menunjukkan pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia menunjukkan negara berada pada landasan yang betul.


Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, faktor pengukuhan ringgit itu banyak dipengaruhi oleh trend luar dan dalam negara termasuk dasar-dasar kerajaan yang menambah keyakinan pelabur terhadap negara ini.


"Dari segi trend kita ke arah peningkatan yang mana ia mungkin (merupakan) kesan-kesan pemulihan yang dilakukan kerajaan dan itu memberikan indikator yang memberi keyakinan pelabur luar ke negara ini," katanya ketika dihubungi.

Prof Dr Barjoyai Bardai


Dalam sebulan kebelakangan ini, ringgit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).


Pengukuhan nilai ringgit sehingga RM4.19 pada 20 September lalu dianggap oleh banyak penganalisis ekonomi didorong oleh asas ekonomi yang kuat selain ketidaktentuan ekonomi AS menyebabkan aliran pelaburan keluar dari negara itu dan tertumpu di negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.


Mengulas lanjut, Dr Barjoyai berkata ringgit dijangka akan terus mengukuh sehingga ke akhir tahun ini.


Malah, sesetengah ramalan juga katanya, mengatakan mata wang negara mampu mengekalkan RM4.20 sehingga akhir tahun ini.


"Namun kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang tinggi mungkin dijangka turun untuk menarik pelabur luar membeli semula pasaran bon AS, keadaan itu sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada prestasi ringgit," ujarnya lagi.


Bagaimanapun menyentuh manfaat pengukuhan ringgit, beliau berkata, trend peningkatan boleh memberi petanda positif kepada penurunan harga barangan import termasuk produk makanan.


Jelasnya, nilai import bahan mentah makanan hampir RM80 bilion kini boleh dijimatkan susulan kenaikan ringgit berbanding dolar.


"Ringgit kita makin mengukuh dan ini memberi impak positif kepada pengguna di Malaysia kerana semua orang akan nampak keadaan ekonomi negara bertambah baik.


"Oleh itu, kesan yang paling penting apabila ringgit semakin mengukuh ialah produk makanan menjadi lebih murah kerana kita mengimport lebih RM80 bilion barangan keperluan jadi harga bahan mentah akan menurun," katanya lagi.

0 comments

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page