Ringgit Malaysia mata wang Asia paling kukuh - CNBC Indonesia
- Suara Keadilan

- May 2
- 1 min read

Matawang Ringgit Malaysia kini muncul sebagai mata wang paling kukuh di Asia bagi tahun 2026, menurut CNBC Indonesia.
Saluran media ekonomi dan perniagaan itu dalam laporan baru-baru ini berkata, prestasi ringgit menjadi tumpuan ketika pasaran global masih dibayangi ketidaktentuan, khususnya susulan konflik di Iran yang berpotensi menjejaskan bekalan tenaga dunia dan meningkatkan harga minyak.
Menurut CNBC Indonesia, sejak awal tahun hingga penutupan dagangan pada 28 April 2026, ringgit mencatatkan pengukuhan sebanyak 2.64 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di Asia. sementara Yuan China berada di kedudukan kedua dengan peningkatan 2.23 peratus.
Laporan itu menjelaskan, pengukuhan ringgit disokong oleh prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh, pertumbuhan ekonomi yang stabil serta aliran masuk dana asing ke dalam pasaran modal negara.
Memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah perdagangan Malaysia pada Mac 2026 meningkat 9.3 peratus kepada RM273.0 bilion berbanding RM249.8 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Manakala eksport meningkat 8.3 peratus kepada RM148.8 bilion, manakala import naik 10.4 peratus kepada RM124.2 bilion.
Tambah laporan itu, aliran masuk dana asing ke pasaran modal Malaysia menjadi antara faktor utama yang mengukuhkan ringgit, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap mata wang berkenaan dalam kalangan pelabur global.
"Dengan sokongan tersebut, ringgit dilihat mempunyai asas kukuh untuk mengekalkan prestasi positif walaupun pasaran global masih berdepan ketidaktentuan," kata laporan itu.




Comments