Kejatuhan nilai ringgit yang 'dilencongkan' oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz sebagai kegembiraan kepada para pengeksport Malaysia amatlah tidak bertanggungjawab.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung, Menteri Kewangan tidak wajar mengalih isu kenaikan harga barang kegunaan harian rakyat akibat kejatuhan ringgit kepada keuntungan para pengilang atau pengeksport dan mencemuh pihak yang membangkitkan isu nilai ringgit sebagai mempolitikkan keadaan.
"Sekarang saya tidak pasti siapa yang cuba mempolitikkan isu ini. Ringgit sudah jatuh ke satu paras yang tidak pernah dilihat dalam tempoh 24 tahun.
"Bukankah keraguan rakyat wajar dan memerlukan penjelasan atas punca tersebut serta mengemukakan jalan penyelesaian?
"Malangnya Tengku Zafrul hanya tertumpu kepada beberapa petunjuk ekonomi terkini yang positif, tetapi tidak memperjelas masalah struktur ekonomi yang kian lemah, sebab kehidupan rakyat kita sekarang jauh lebih susah berbanding 20 tahun lepas, dan mengapakah graduan kita tidak mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal dengan usaha mereka.
"Tengku Zafrul juga beranggapan pengeksport besar gembira dengan penururan ringgit kerana barangan mereka jadi lebih kompetitif.
"Memang masuk akal kerana beliau yang rapat dengan dunia korporat tumpang “happy” dengan pengeksport besar, tetapi beliau lupa jutaan rakyat yang terpaksa menanggung kos makanan yang makin tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
ADUN Semambu itu mengingatkan bahawa pada Ogos lalu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi amaran nilai import makanan Malaysia akan naik lebih tinggi tahun ini.
Justeru, dalam keadaan ringgit makin menguncup hampir pasti susu, tepung gandum, daging lembu, bahkan ubi kentang akan menjadi lebih mahal buat rakyat biasa.
"Dalam hal ini Tengku Zafrul juga cuba mengelirukan rakyat. Kalau kejatuhan nilai mata wang adalah sesuatu yang baik, sepatutnya si pengeksport di Sri Lanka, Zimbabwe atau Sudan Selatan menjadi orang yang paling gembira di dunia ini
"Tapi tentunya mereka tidak gembira sangat. Ini kerana pengeksport perlu membeli barangan input untuk diproses dengan harga yang lebih tinggi. Misalan kilang menghasilkan TV di Malaysia perlu membeli cip computer dan skrin dari negara luar dengan US Dollar. Maka keuntungan mereka terjejas.
"Kedua, pekerja asing yang berkemahiran tinggi akan meminta kenaikan gaji ataupun mereka akan meninggalkan Malaysia kerana gaji mereka makin mengecil. Kelemahan ringgit tidak membantu kita untuk menarik dan menyimpan bakat-bakat rakyat Malaysia dan luar negara," katanya.
Kelemahan dan kemerosotan nilai mata ringgit secara berterusan juga, kata Chean Chung akan menghalau pelaburan asing. Tiada siapa berminat ke Malaysia sekiranya aset mereka makin mengecil saban tahun. Perkara yang berlaku di Sri Lanka, Zimbabwe dan Sudan harus dijadikan ikhtibar kepada pemimpin Malaysia, dan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.
Selain itu, beliau juga mengkritik Tengku Zafrul yang banyak menghabiskan masa merakam TikTok ketika negara menghadapi malapetaka kejatuhan nilai matawang.
ADUN Semambu itu bertanya adakah kejatuhan nilai ringgit sebenarnya baik untuk majoriti rakyat atau hanya pengiolang?
Katanya Menteri Kewangan turut perlu memberi penjelasan mengapakah ringgit merosot sepanjang 20 tahun secara berterusan, berbanding dengan nilai mata wang utama yang lain.
Juga mengapakah pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia tidak meningkat semenjak tahun 1998.
Commentaires