top of page

Ringgit jatuh, pelancong suka, pengeksport gembira, rakyat dapat apa?



Kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz baru baru ini bahawa kejatuhan nilai ringgit menggembirakan pengeksport Malaysia dibidas banyak pihak.


Bagi ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern, kenyataan tersebut tidak membawa sebarang makna kepada rakyat biasa yang menderita kenaikan harga barang keperluan yang diimport ketika nilai ringgit kini mencecah RM4.50 untuk sedolar Amerika Syarikat.


Katanya, beliau menyokong kenyataan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Lee Chean Chung bahawa kemerosotan nilai matawang amat menjejaskan rakyat marhaen.


"Saya sebagai seorang wakil rakyat dan juga mewakili majoriti rakyat bersetuju dengan kenyataan beliau. Ini kerana rakyat kita sengsara disebabkan kenaikan harga barangan keperluan harian.


"Negara kita sudah pun memasuki fasa inflasi. Ada juga penubuhan "Pasukan Jihad Tangani Inflasi" oleh Tan Sri Annuar Musa. Namun apakah tanggungjawab dan fungsinya jika gagal mengawal kadar inflasi dan Bank Negara pengumuman kenaikan kadar OPR tiga kali secara berturut-turut?


"Sebagai jiran kepada negara Singapura pula, majoriti bakat tempatan terutamanya anak muda kini migrasi ke negara tersebut hanya kerana nilai Dolar Singapura tiga kali ganda," katanya dalam satu kenyataan.


Arthur Chiong turut menempelak komen menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz kononnya penyusutan nilai ringgit memberi manfaat kepada rakyat apabila pelancong dari Singapura berbelanja lebih banyak di Johor berbanding dulu.


Ujarnya, kemasukan lebih banyak rakyat Singapura hanya akan meningkatkan lagi harga barang di Johor dan menyusahkan rakyat tempatan.


"Menteri Besar Johor perlu bersikap lebih rasional dan peka terhadap masalah rakyat secara keseluruhan. Kenaikan harga barangan keperluan harian masih lagi tinggi bagi rakyat tempatan kita.


"Jangan berfokus kepada manfaat peniaga sahaja. Rakyat biasa yang bekerja sebagai pekerja kilang, pemandu Gra, Rider FoodPanda tetap terkesan dengan kemerosotan nilai ringgit. Merekalah golongan majoriti rakyat Malaysia.


"Jadi apakah nasib rakyat Malaysia yang bekerja di negara kita? Menteri Kewangan Tengku Zafrul juga perlu menjelaskan apakah langkah-langkah proaktif yang dirangka bagi membantu negara supaya tidak begitu terkesan dalam kemerosotan nilai ringgit ini," katanya.


Selain itu, Arthur Chiong mengingatkan kesukaran yang ditanggung oleh anak muda Malaysia yang belajar di luar negara, dengan kejatuhan nilai matawang maka mereka lebih sukar untuk membeli keperluan hidup atau membayar yuran pengajian.


"Sebagai anak muda, saya khuatir kesan yang bakal dihadapi golongan pelajar yang menuntut ilmu di luar negara. Kejatuhan nilai ringgit memberikan kesan yang ketara kepada mahasiswa di luar negara ini. Jumlah wang saku mereka akan mengecil dan terbeban untuk membayar yuran pengajian," katanya.


Tambah beliau, persoalan-persoalan yang diajukan kepada Menteri Kewangan kita oleh Chean Chung baru baru ini amat munasabah. Menteri Kewangan tidak boleh bersembunyi daripada persoalan tersebut. Ahli-ahli politik yang memimpin kerajaan juga perlu memberikan penjelasan dan bukan memutar belit di hadapan lensa kamera.


"Kerajaan perlu bertindak lebih agresif mulai sekarang untuk negara kita bangkit kembali daripada kemerosotan ini.


"Adakah Menteri Kewangan Tengku Zafrul berani menyahut cabaran Lee Chean Chung untuk memberikan penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan?


"Jangan main sorok-sorok bersama rakyat. Mereka perlu berani tampil menjawab persoalan-persoalan rakyat," katanya lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page