Oleh: Abdullah Zaid
Lebih 100 pekerja syarikat perkhidmatan penghantar makanan Foodpanda berkumpul di pejabat pengurusan Foodpanda di Cheras, Kuala Lumpur bagi menghantar memorandum agar pengenalan sistem pengurusan baharu dikaji semula.
Antara isu utama yang dibangkitkan mereka adalah soal kadar upah penghantar makanan yang telah dikurangkan, selain penalti terhadap mana-mana pekerja yang menolak tempahan.
Melihat perkara itu sebagai tidak wajar, Pengerusi Sekretariat Forum GiG Ekonomi Malaysia (NGO), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata isu berkenaan seharusnya diteliti secara saksama oleh pihak Foodpanda.
"Ada beberapa masalah yang timbul antaranya perluasan kawasan contohnya dari Kelana Jaya dibesarkan menjadi Subang.
"Namun kadar upah yang diberikan tidak konsisten dan tidak setimpal.
"Sekiranya pesanan itu ditolak dua hingga tiga pesanan maka pekerja digantung.
"Justeru, kita harap ada pertimbangan yang diberikan syarikat Foodpanda memandangkan pekerja-pekerja hanya mencari rezeki," katanya.
Jelas beliau, setakat ini, syarikat perkhidmatan itu memberi jaminan kadar upah bagi setiap pekerja dikekalkan RM10 hingga RM12 bagi setiap jam selain akan mengkaji semula sistem berkenaan.
Dalam pada itu, Penasihat Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Bryan Ng Yih Miin pula berkata Rang undang-undang (RUU) berkaitan Suruhanjaya Pekerja Gig dijangka dibawa ke sidang Parlimen Julai ini dan akan menyediakan pembelaan yang lebih baik bagi pekerja gig tersebut.
Wakil pimpinan pusat Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu juga memaklumkan RUU tersebut diyakini akan membela nasib 1.12 juta pekerja dalam sektor berkenaan.
"Perdana Menteri memberi jaminan RUU berkaitan Gig akan dibawa ke sidang Parlimen Julai ini.
"Ini membukti komitmen Kerajaan Madani membela dan memberi keadilan kepada nasih pekerja Gig," ujarnya lagi.
Opmerkingen