top of page

Karya seni terkait 1MDB bernilai hampir RM800,000 berjaya dibawa pulang SPRM

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 days ago
  • 2 min read
Karya seni bernilai tinggi ditempatkan di lokasi khas sebelum penilaian lanjut dilakukan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara
Karya seni bernilai tinggi ditempatkan di lokasi khas sebelum penilaian lanjut dilakukan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang empat karya seni bernilai tinggi yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pemulihan aset negara.


Menurut kenyataan SPRM, kesemua karya seni tersebut kini ditempatkan dengan selamat di ibu pejabat agensi berkenaan di Putrajaya selepas melalui proses pemulangan dari luar negara.


"Karya-karya seni ini merupakan sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hasil usaha berterusan kerajaan Malaysia diterajui SPRM melalui pendekatan bersepadu melibatkan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan tempatan dan rakan strategik antarabangsa," kata kenyataan itu.


Empat karya seni berkenaan dianggarkan bernilai keseluruhan AS$198,125 (sekitar RM786,556), dan melibatkan hasil seni daripada artis terkenal dunia seperti Joan Miró - Composition (1953), Maurice Utrillo - Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934), Balthus - Etude pour femme couchée (1948) dan Pablo Picasso - L’Ecuyere et les clowns (1961).


Menurut SPRM, karya-karya tersebut kini ditempatkan di lokasi khas dengan kawalan keselamatan ketat dan sedang menjalani proses penstabilan persekitaran sebelum penilaian lanjut dilakukan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.


SPRM turut menegaskan bahawa pemulangan aset berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menjejaki dan mendapatkan semula aset yang diseleweng di peringkat global.


"Pemulangan karya seni ini bukan sahaja melambangkan kejayaan berterusan Malaysia dalam mendapatkan semula aset yang diseleweng, malah memperkukuh kedudukan negara dalam pelaksanaan amalan terbaik pemulihan aset di peringkat antarabangsa," kata SPRM.


Sehingga kini, Malaysia dilaporkan berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion, bersamaan hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti.


"Setiap pemulihan aset, termasuk karya seni ini membuktikan bahawa tiada ruang selamat bagi hasil jenayah untuk disembunyikan, walaupun melibatkan rangkaian kewangan rentas sempadan yang kompleks," ujar kenyataan itu lagi.


Tambah SPRM, suruhanjaya itu akan terus memperkukuh usaha pengesanan dan pemulihan aset secara agresif dan strategik, bagi memastikan setiap aset yang diperoleh secara tidak sah dikembalikan kepada negara demi kepentingan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page