Ribut Senyar: Selangor tingkat kesiapsiagaan, utamakan keselamatan rakyat
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Ribut Tropika Senyar yang dikesan sedanag merentasi Selat Melaka dan dijangka menjejaskan pesisir pantai barat antara Selangor dan Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan keselamatan rakyat menjadi keutamaan, dengan jentera respons digerakkan di peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi menghadapi kemungkinan banjir dan kecemasan.
"1,173 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan sekolah, masjid, dewan dan balairaya, lengkap dengan keperluan asas kini bersiap siaga, mampu menampung 244,000 penduduk seluruh Selangor," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu jelasnya, 344 jentera termasuk kenderaan pacuan empat roda, lori muatan berat, dan 227 bot ditempatkan di lokasi strategik bagi operasi bantuan dan mencari serta menyelamat.
Beliau turut memaklumkan Selangor mempunyai 45 stesen siren amaran yang akan diaktifkan sekiranya paras air mencapai tahap bahaya.
"Kerajaan Negeri akan terus berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Unit Pengurusan Bencana Negeri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Penduduk diingatkan agar mematuhi arahan pemindahan tanpa berlengah jika siren dibunyikan atau arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa," tegasnya.
Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan Selangor, Perak dan sebahagian Pahang dijangka mulai berdepan kesan Ribut Tropika Senyar hingga Sabtu, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 50 kilometer sejam.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata fenomena itu merupakan ribut tropika pertama yang terbentuk di perairan Selat Melaka, dengan unjuran hujan melebihi 200 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam, sekali gus menjadikannya luar biasa kerana tidak pernah berlaku sebelum ini









Comments