top of page

Ribuan rakyat iringi keberangkatan pulang Agong, Permaisuri



Oleh: Helmi Mohd Foad


Genap lima tahun menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menamatkan penggal pemerintahannya hari ini.


Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan berlangsung hari ini bagi menjunjung kasih tanda penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas jasa dan pengorbanan Seri Paduka berdua.


Istiadat khas itu berlangsung penuh simbolik dengan adat istiadat Melayu melambangkan keunikan institusi diraja di negara ini dengan disambut rakyat jelata dengan penuh rasa terharu.


Terdahulu kira-kira pukul 8.20 pagi, laungan azan yang syahdu dialunkan oleh Pembantu Pegawai Agama di Istana Negara Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni di Istana Negara mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah.


Ketika meninggalkan Istana Negara, kenderaan khas yang membawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong melintasi Kawalan Kehormatan Darjat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn, Setapak yang turut mempersembahkan "Hormat Diraja" di Dataran Istana Negara.


Seri Paduka berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen untuk Istiadat Keberangkatan Balik. Ketibaan Seri Paduka berdua diiringi tiupan nafiri oleh 22 anggota Skuadron Istiadat Berkuda yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh, Selangor.


Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof. Turut hadir menteri-menteri Kabinet.


Seri Paduka berdua kemudian diiring ke Pentas Diraja, melintasi Pasukan Pengawal Tombak diikuti persembahan tabik Hormat Diraja daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama, disusuli lagu Negaraku oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja.


Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong direndahkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).


Seri Paduka kemudian berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.


Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah disusuli tabik "Hormat Diraja" kali kedua serta lagu Negaraku.


Seri Paduka berdua selepas itu berkenan bersalaman dengan barisan Jemaah Menteri, Ahli-ahli Parlimen, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta perwakilan asing.


Seri Paduka berdua kemudian meninggalkan Dataran Parlimen pada pukul 9.20 pagi untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.


Lebih 3,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan memberikan lambaian bagi mengucapkan selamat jalan kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.


Barisan para Jemaah menteri dan pasangan menghantar pulang DYMM Agong di Parlimen

Pesawat khas yang dinaiki Seri Paduka baginda selamat berlepas dari KLIA untuk pulang ke Pahang kira-kira pukul 11.30 pagi ini. Sebelum itu ketibaan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Kompleks Bunga Raya, KLIA disambut dengan perarakan penuh penuh simbolik seperti zaman kegemilangan raja-raja Melayu dahulu kala.


Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkenaan pada 6 Januari 2019.


Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok.


Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya berpuas hati dengan liputan media arus perdana dan alternatif serta penggunaan platform media sosial melaporkan istiadat keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu.


"Saya amat berpuas hati dan bangga dengan usaha rakan-rakan media untuk liputan semua acara sempena keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong...kita meraikan sistem Raja Berperlembagaan," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page