Retorik ‘Turun Anwar’ PN terbalik, pembangkang semakin bergolak
- Suara Keadilan
- 30 minutes ago
- 1 min read

Laungan berterusan slogan ‘Turun Anwar’ oleh Perikatan Nasional (PN) akhirnya terbukti memakan diri, kata Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kepong, Muhammad Zahid Hassan (gambar).
Menurut beliau, menjelang penghujung tahun 2025, bukannya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar yang didesak meletak jawatan semakin lemah, sebaliknya kegagalan PN terserlah apabila gabungan itu berdepan dengan perletakan jawatan pemimpin kanan dalam kalangan mereka sendiri, sekali gus memperlihatkan krisis kepimpinan yang rumit.
"Retorik ‘Turun Anwar’ yang dilaungkan secara berterusan oleh Perikatan Nasional akhirnya terbukti sebagai propaganda politik kosong tanpa asas kukuh.
"Menjelang penghujung tahun 2025, kegagalan Perikatan Nasional semakin terserlah apabila parti tersebut berdepan perletakan jawatan pemimpin kanan mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Zahid berkata, keadaan itu tambah mendukacitakan apabila PN terus terperangkap dalam budaya politik sempit yang menumpukan kepada permainan persepsi, hasutan dan polemik berpanjangan, berbanding memberi keutamaan kepada penyelesaian isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kebajikan sosial dan kestabilan negara.
"Pendekatan politik sedemikian jelas tidak mencerminkan kematangan serta tanggungjawab sebuah gabungan yang kononnya menawarkan alternatif kepimpinan negara," ujarnya.
Dalam masa sama, AMK Kepong berpandangan rakyat kini semakin bijak menilai prestasi dan kredibiliti pemimpin blok kerajaan ataupun pembangkang.
"Kepimpinan tidak boleh dibina melalui laungan slogan dan sentimen kebencian semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan prestasi, kebertanggungjawaban serta komitmen terhadap agenda reformasi dan kestabilan negara," tegasnya.
Sehubungan itu, Zahid berkata, kegagalan PN untuk tampil dengan kepimpinan yang konsisten dan benar-benar berfokus kepada kepentingan rakyat membuktikan bahawa naratif ‘Turun Anwar’ hanyalah satu ilusi politik yang semakin ditolak oleh rakyat.





