top of page

Sambutan baharu, TMM 2026 pemangkin perpaduan, pelancongan - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 13 minutes ago
  • 2 min read
Suasana gilang gemilang sambutan tahun baharu dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, malam tadi
Suasana gilang gemilang sambutan tahun baharu dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, malam tadi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan sambutan Tahun Baharu 2026 yang diraikan menerusi Majlis Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) Countdown Festival malam tadi di Pavillion, Kuala Lumpur sebagai satu permulaan bermakna dalam mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.


Menurut beliau, penganjuran sambutan tersebut bukan sahaja menandakan detik awal kempen TMM 2026, malah mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menyambut kedatangan pelancong dari seluruh dunia.


"Berkesempatan menyertai sambutan Tahun Baharu 2026 yang diraikan dalam suasana penuh harmoni menerusi Majlis Tahun Melawat Malaysia 2026 Countdown Festival malam tadi," katanya dalam muat naik di media sosial.

Anwar mengibarkan bendera di majlis sambutan
Anwar mengibarkan bendera di majlis sambutan

Anwar berkata, kepelbagaian budaya yang ditampilkan sepanjang acara itu menjadi kekuatan utama negara, selain memperlihatkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan mesra kepada pengunjung.


"Acara ini bukan sahaja menjadi pemangkin awal kepada kempen TMM 2026, malah mencerminkan keindahan kepelbagaian budaya serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menyambut tetamu dari seluruh dunia," ujarnya.


Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap penganjuran sambutan yang diserikan dengan pelbagai persembahan berskala besar, termasuk pertunjukan multimedia dan bunga api yang memeriahkan kawasan tumpuan pelancongan.


"Detik kemuncak sambutan diserikan dengan persembahan multimedia berskala besar, termasuk pertunjukan bunga api yang memeriahkan kawasan tumpuan pelancongan, dalam suasana aman dan tertib," jelasnya.


Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap penganjuran acara seumpama ini dapat diteruskan bagi memperkukuh perpaduan nasional serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.


"Moga penganjuran sebegini terus memperkukuh keharmonian dan perpaduan nasional, serta membuka lembaran baharu dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, inklusif dan dihormati di persada global," katanya.


Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 membuka tirai secara rasmi menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival malam tadi.


Acara itu merupakan sambutan ambang tahun baharu berskala besar yang berlangsung meriah di Pavilion Kuala Lumpur.


Kiraan detik jam 12 malam disertai PM Anwar menandakan permulaan usaha memacu momentum sektor pelancongan negara ke arah sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong dunia.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page