Politik pengkhianatan tidak mampu lahirkan kestabilan - AMK
- Suara Keadilan
- 59 minutes ago
- 2 min read

Parti yang diasaskan semata-mata untuk merebut kuasa melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak akan mampu melahirkan kestabilan politik jangka panjang, tegas Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Jalex Lee (gambar).
Menurut beliau, perkembangan terbaharu apabila beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam Perikatan Nasional (PN) bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dilihat daripada latar belakang penubuhan dan perjalanan politik parti berkenaan.
"Bersatu ditubuhkan pada tahun 2018 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum diperluaskan pengaruhnya pada tahun 2020 di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kemudiannya membentuk kerajaan melalui peristiwa yang dikenali sebagai ‘pintu belakang’," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, ujarnya, rakyat tidak wajar melupakan episod hitam demokrasi lewat peristiwa Langkah Sheraton pada 2020, apabila sebahagian Ahli Parlimen mengkhianati mandat rakyat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara sah pada Pilihan Raya Umum 2018.
"Ketika itu, sebahagian Ahli Parlimen telah mengkhianati mandat rakyat dengan memanipulasi kedudukan dan undi mereka bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah, seterusnya menubuhkan kerajaan tanpa mandat rakyat," katanya.
Tambah Jalex Lee, corak politik sama masih berulang, termasuk dalam perkembangan mutakhir di Perlis apabila Kerajaan Negeri yang terbentuk hari ini juga lahir melalui kaedah pintu belakang.
Menurutnya, implikasi amalan politik sebegini amat besar dan merugikan negara, khususnya apabila Malaysia berdepan ketidaktentuan politik yang berpanjangan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat, pelabur serta komuniti antarabangsa.
"Dalam keadaan negara sedang berusaha melaksanakan reformasi institusi serta memulihkan dan memacu pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik dan pentadbiran yang berintegriti merupakan prasyarat yang tidak boleh dikompromikan," katanya.
Sehubungan itu, Jalex menegaskan bahawa Malaysia memerlukan politik yang berpaksikan mandat rakyat, prinsip demokrasi dan kejujuran, bukannya percaturan kuasa sempit yang akhirnya membawa kemudaratan kepada negara dan rakyat secara keseluruhan.
"Malaysia memerlukan politik yang berteraskan mandat rakyat, prinsip demokrasi dan kejujuran, bukan politik pengkhianatan," katanya lagi.





