top of page

Kebangkitan moral, kemanusiaan perlu demi dunia lebih adil - MAPIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 12 minutes ago
  • 2 min read
ree

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kebangkitan keberanian moral global dalam menghadapi dunia yang semakin menormalisasikan penderitaan, kezaliman dan ketidakadilan, meskipun memiliki sumber, teknologi dan ilmu yang belum pernah wujud sebelum ini.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dunia hari ini bukan kekurangan kemampuan, sebaliknya ketandusan keberanian moral untuk mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat.


"Pada ketika manusia memiliki sumber, teknologi dan ilmu yang belum pernah wujud dalam sejarah, penderitaan pula semakin dinormalisasikan, kezaliman semakin diterima sebagai kebiasaan, dan ketidakadilan sering dilindungi oleh kuasa serta kepentingan politik.


"Dunia hari ini tidak kekurangan kemampuan, tetapi kekurangan keberanian moral," katanya dalam kenyataan tahun baharu 2026.


Beliau menegaskan MAPIM diasaskan atas keyakinan bahawa setiap nyawa manusia adalah suci, keadilan tidak boleh dikompromi dan maruah merupakan hak asasi yang wajib dipertahankan, bukan satu keistimewaan.


Menurutnya, kemanusiaan global kini berada dalam keadaan terancam bukan sahaja akibat peperangan dan kemiskinan, tetapi juga kerana sikap tidak peduli yang semakin dianggap normal.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

"Orang awam dibunuh dan dipindahkan secara paksa, sementara dunia sibuk berdebat soal istilah. Pelarian pula diperlakukan sebagai ancaman, bukan mangsa kezaliman," ujarnya.


Mohd Azmi turut mengkritik amalan keadilan yang bersifat selektif, apabila undang-undang antarabangsa dikuatkuasakan ke atas pihak lemah tetapi diketepikan apabila pihak berkepentingan melanggarnya.


"Keadilan menjadi selektif. Undang-undang antarabangsa ditegakkan ke atas yang lemah, tetapi diketepikan apabila yang kuat melanggarnya. Pendudukan ditafsir sebagai keselamatan," katanya.


Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa maruah adalah inti kepada kemanusiaan, dan akan tercemar apabila bantuan diberi tanpa penghormatan, pembangunan meminggirkan komuniti, serta sistem ekonomi mengutamakan keuntungan hingga merendahkan nilai kehidupan manusia.


Sehubungan itu, MAPIM komited untuk memperkukuh usaha kemanusiaan berteraskan solidariti, bukan sekadar kebajikan, dengan memastikan tindakan yang diambil memulihkan maruah dan memperkasa komuniti setempat.


"Kami akan memperkukuh usaha kemanusiaan yang beretika, telus, dan menghormati komuniti setempat.


"Kami akan memperhebatkan advokasi keadilan melalui penglibatan berprinsip dengan institusi serantau dan antarabangsa. Kami akan menggerakkan masyarakat sivil, khususnya golongan muda, untuk menolak sikap acuh tak acuh dan memulihkan kepimpinan moral," katanya.


Azmi menegaskan seruan MAPIM bukan hanya ditujukan kepada kerajaan dan institusi, tetapi kepada seluruh insan yang masih memiliki hati nurani.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page