top of page

Resolusi PBB ke atas Palestin: Harapan baharu atau kekecewaan berulang?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Gaza, biarpun dianggap boleh membuka menamatkan konflik Israel-Palestin namun dilihat banyak pihak masih belum memadai untuk membawa penyelesaian menyeluruh kepada penderitaan rakyat Palestin.


Bagi Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Bahrin Shah (gambar), beliau menzahirkan kebimbangan terhadap resolusi berkenaan.


Biarpun, katanya, resolusi itu diterima pakai tanpa sebarang undian menentang, ia tetap mengundang persoalan besar mengenai keberkesanannya.


"Hakikat bahawa tiada negara mengundi menentang resolusi tersebut merupakan satu kenyataan muktamad tentang keperluan kritikal untuk menyeru keadilan bagi rakyat Palestin di Gaza," ujarnya.


Namun, Raja Bahrin turut menekankan bahawa tindakan dua negara berkecuali jelas menggambarkan bahawa resolusi berkenaan tidak cukup komprehensif untuk menangani isu penentuan nasib sendiri dan pembentukan sebuah negara Palestin.


Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pembentukan Lembaga Keamanan (BOP) yang menurutnya didominasi negara Barat tanpa penglibatan mencukupi wakil sebenar Palestin.


"Pembentukan BOP yang majoritinya terdiri daripada negara asing Barat dan kekurangan atau hampir tiada langsung penyertaan pemegang taruh Palestin merupakan kelemahan ketara dalam usaha mencapai penyelesaian jangka panjang yang stabil dan bermakna," tegasnya.


Raja Bahrin turut mengkritik pemilihan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai pengerusi BOP serta pelantikan bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair sebagai salah satu pemain utama.


"Ini melukiskan gambaran suram tentang perubahan positif dan kemajuan ke arah penyelesaian berkekalan memandangkan pihak-pihak tersebut adalah pembekal senjata utama yang berterusan kepada Israel dan berkepentingan," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, ketiadaan fokus terhadap agenda utama rakyat Palestin berhubung hak menentukan nasib sendiri dan pembentukan negara berdaulat – menjadikan resolusi tersebut tidak lebih daripada satu ritual politik.


"Kekurangan fokus dan ketiadaan agenda penentuan nasib sendiri rakyat Palestin serta pembentukan sebuah Negara Palestin adalah kebimbangan jelas yang menunjukkan satu lagi sandiwara yang panjang buat rakyat Palestin sementara bom Israel masih menghujani Gaza pada saat ini."


Beliau turut menyifatkan tindakan berkecuali China dan Rusia sebagai isyarat ketidakpercayaan terhadap komitmen sebenar kuasa besar lain.


Selain itu, Raja Bahrin menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak memerlukan sebuah badan berprofil tinggi yang tidak pernah terbukti adil, sebaliknya memerlukan perantara sejati yang bebas daripada kepentingan geopolitik.


"Kami khuatir sandiwara 'song and dance ritual' oleh BOP hanyalah satu gerak isyarat simbolik kosong untuk meredakan kemarahan rakyat masing-masing yang semakin marah terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berterusan serta sokongan ketenteraan dan tidak bermoral negara mereka terhadap Israel


"BOP hanyalah satu lagi perubahan kosmetik untuk 'mencuri masa' bagi pelaksanaan pembersihan etnik Israel, sementara rakyat Palestin mati perlahan-lahan dalam penderitaan akibat pengeboman, kebuluran dan kelaparan — ditambah pula dengan ketibaan musim sejuk yang bakal memperburukkan penderitaan dan kehancuran mereka.


"Rakyat Palestin tidak memerlukan sebuah Lembaga Keamanan berkuasa tinggi untuk menyelesaikan masalah dan masa depan mereka," jelasnya.


Beliau menyimpulkan bahawa tanpa perantara yang benar benar jujur dan berwibawa rakyat Palestin akan terus berdepan derita berpanjangan.


"Sehingga wujud perantara yang benar-benar jujur, ikhlas serta tulen, mempunyai kemahuan politik serta pengaruh yang kuat, rakyat Palestin akan terus berdepan musim sejuk yang panjang dan suram sementara kita menyaksikan ritual lakunan palsu “song and dance” oleh BOP di dominasi negara Barat, sementara rakyat Palestin terus di bunuh Israel," akhirinya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page