top of page

Resolusi PBB 2803: Adakah Palestin 'dijajah' dalam bentuk baharu?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 24
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Resolusi 2803 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 November lalu biarpun kelihatan seperti usaha ke arah mengembalikan maruah rakyat Palestin namun dicurigai tersembunyi agenda penjajahan bentuk baharu yang perlu diteliti secara berhati hati oleh negara negara Islam.


Bagi Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar), negara Islam khusunya kerajaan Malaysia perlu berusaha membetulkan kesan daripada resolusi tersebut yang didakwa akan memecah-belahkan Gaza.


Katanya, resolusi menubuhkan ‘Gaza Trusteeship’ iaitu Lembaga Pemegang Amanah dan pengumuman ‘gencatan senjata’ itu kurang disedari ramai akan implikasinya yang lebih mendalam dan menyeluruh terhadap rakyat Palestin.


Tegas Raja Bahrin, gencatan senjata biasanya tidak dipatuhi sepenuhnya oleh Israel. Namun perkara lebih mencurigakan ialah 'trusteeship' tersebut bersama penubuhan Lembaga Pengaman, dipengerusikan oleh Presiden Trump dan ditadbir oleh bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair serta dianggotai tokoh-tokoh Barat yang lain.


"Seperti yang dinyatakan Profesor Ralph Wild, Profesor Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang, University College London, pemegang amanah ini berdasarkan tradisi Barat untuk ianya kelihatan lebih berperikemanusiaan dalam amalan penjajahan Barat.


"’Trusteeship’ kononnya akan menggantikan lebih setengah abad pemerintahan brutal Israel yang berakar pada diskriminasi kaum, apartheid dan pembunuhan beramai-ramai.


"Sesebuah ‘trusteeship’ lazimnya menggambarkan rakyat yang dianggap seperti ‘kanak-kanak’ dan tidak mampu mengurus diri, manakala pentadbirnya pula ‘lebih dewasa’ seperti Donald Trump, Tony Blair dan pemimpin Barat lain.


"Ini jelas satu tindakan rasis yang memalukan dan menghina, kerana kita tahu rakyat Palestin ialah masyarakat yang sangat tahan lasak, pintar dan mampu mentadbir dengan kehadiran rakyat Palestin berkelulusan tinggi di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Raja Kamarul berkata, satu ironi ketika negara-negara Barat kononnya memperjuangkan pembebasan wanita di Afghanistan dan bertekad ‘membebaskan’ China daripada komunisme, pada masa sama mereka juga mengusahakan penjajahan moden dalam bentuk ‘trusteeship’ yang diselimuti nama indah Board of Peace di Gaza yang akan menjadi strategi terbaharu pecah dan perintah.


Pada waktu ini pun, kata beliau, Gaza dipecah dua kepada Zon Hijau dan Zon Merah.


"Sebelum pengumuman gencatan senjata pada 10 Oktober 2025, tentera Israel telah pun ‘membahagikan’ Gaza kepada dua zon iatu hijau yang dikawal tentera Israel dan merah merupakan tempat pelarian Palestin.


"Kedua-dua zon dipisahkan oleh ‘garisan kuning’ yang tidak kelihatan serta kabur dan arbitrari, di mana rakyat Palestin yang keliru ditembak setiap hari kerana melintasinya.


"Taktik ini adalah salinan langsung strategi pecah dan perintah British-Eropah yang kini ditadbir oleh Tony Blair," ujarnya.


Kerja jahat yang terancang ini, menurut Raja Bahrin, diperkukuh dengan pembekalan senjata kepada militia Palestin tempatan yang bermusuhan untuk melawan Hamas, yang akan memecah-belahkan Gaza menjadi banyak enklaf berasingan.


"Terhasilnya komuniti kecil yang berpecah ini menyerupai tindakan kolonial British di Tanah Melayu - Malaya, yang mewujudkan “kampung baru” untuk mengekang dan mengasingkan gerila antikolonial pada 1950-an. Hal yang sama berlaku apabila Amerika Syarikat menubuhkan “strategic hamlets” di Vietnam pada 1960-an."


Justeru tanpa orang tengah yang benar-benar jujur-ikhlas untuk bekerja ke arah keamanan sebenar — dan selagi Amerika yang dipengaruhi Zionis serta British yang menjadi arkitek asal penubuhan Israel melalui Deklarasi Balfour, kata Raja Bahrin, maka

Palestin tidak akan bebas melainkan negara negara Islam membantu merungkaikan masalah saudara seIslam mereka.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page