Ketua Wanita KEADILAN Perak, Junaida Jamaluddin menggesa supaya golongan wanita diberikan peluang untuk memegang jawatan pimpinan yang lebih tinggi.
Dalam perbahasannya, beliau berkata jumlah peratusan pembuat dasar melibatkan wanita masih terlalu rendah.
"Sebelum ini kita menetapkan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan.
"Menurut statistik perangkaan, wanita dilantik anggota pentadbiran iaitu menteri dan timbalan menteri cuma 13.2 peratus. Wanita yang jadi ahli Dewan Negara cuma 20.3 peratus manakala wanita dalam pengurusan tertinggi kerajaan cuma 35.6 peratus, jumlah ini tidak menggembirakan kita.
"Kerana menurut parliamentary union, kita jauh ketinggalan berbanding Rwanda tempat pertama 63.8 peratus, Finland dengan 42.5 peratus dan Malaysia mencapai 14 peratus sewaktu kita menjadi kerajaan pada 2018," katanya ketika berbahas ucapan Ketua Wanita KEADILAN dalam Kongres Nasional hari ini.
Justeru, beliau berharap lebih ramai wanita tampil menyahut cabaran untuk menerajui negara di masa akan datang.
"Kita perlukan ramai wanita mengisi kuota tersebut dan lebih ramai diperlukan untuk mengisi jawatan jawatan penting dalam negeri demi memastikan agenda reformasi yang diasaskan parti KEADILAN dapat dipenuhi," katanya.
Comments