REP: Garis panduan baharu Permit Masuk tarik profesional M'sia di luar negara


Kerajaan kini mewujudkan garis panduan baharu permohonan Permit Masuk di bawah Returning Expert Programme (REP) dalam usaha menggalakkan warganegara berkemahiran tinggi di luar negara, kembali menyumbang kepada pembangunan di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata garis panduan itu diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, garis panduan berkenaan menyediakan rujukan yang lebih jelas kepada keluarga profesional Malaysia yang sedang mempertimbangkan untuk kembali ke tanah air.
"Penglibatan diaspora Malaysia penting dalam memenuhi keperluan bakat negara seiring perkembangan ekonomi dan pertumbuhan industri bernilai tinggi.
"Malaysia sedang menarik pelaburan dan membangunkan industri bernilai tinggi, tetapi pelaburan sahaja tidak mencukupi. Kita perlu memastikan negara mempunyai bakat, kemahiran dan kepakaran yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan tersebut serta mewujudkan pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat.
"Di sinilah diaspora Malaysia mempunyai nilai strategik. Pengalaman mereka dalam pasaran dan industri antarabangsa boleh membantu Malaysia membina keupayaan, memperluas jaringan ekonomi dan mempercepat pembangunan bakat dalam bidang yang diperlukan negara," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Semalam, KESUMA menerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) terus memperkukuh hubungan dengan komuniti bakat Malaysia di Indonesia melalui program Salam Dari Malaysia @ Jakarta, yang turut menyaksikan pelancaran garis panduan berkenaan.
Menurut Ramanan yang juga Naib Presiden KEADILAN, garis panduan yang dilancarkan itu menyediakan rujukan lebih jelas dan tersusun mengenai proses permohonan Permit Masuk bagi pasangan warga asing dan anak kandung berumur bawah 18 tahun kepada penerima REP, termasuk syarat kelayakan, dokumen dan tatacara permohonan.
Melalui laluan itu ujarnya, pasangan warga asing dan anak kandung yang telah dikeluarkan Permit Masuk boleh memohon taraf Pemastautin Tetap (PR) tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
"Jika Malaysia mahu menarik pulang kepakaran yang diperlukan oleh ekonomi negara, kita juga perlu memahami faktor yang mempengaruhi keputusan seseorang untuk kembali.
"Ia bukan sekadar soal pekerjaan atau gaji. Bagi ramai profesional, keputusan itu turut melibatkan pasangan, anak-anak dan masa depan keluarga.
"Garis panduan ini memberikan kejelasan yang lebih baik kepada keluarga penerima REP supaya mereka yang mempertimbangkan untuk kembali dapat merancang kepulangan bersama keluarga dengan lebih yakin," katanya lagi.




Comments