'Rendahkan maruah sahabat Nabi bukan khilaf, perbuatan tiada adab'
- Akmal Manaf

- 57 minutes ago
- 2 min read

Ketua Wanita AMANAH, Datuk Aiman Athirah Al Jundi (gambar) menegaskan sebarang kenyataan yang merendahkan, memperlekeh atau menghina Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan para sahabat Nabi s.a.w wajib ditolak dengan tegas kerana ia menyentuh soal adab dan prinsip akidah umat Islam.
Beliau berkata, tidak memadai sekadar memohon maaf secara umum dengan ungkapan seperti 'jika ada pihak yang terasa'.
"Apa yang dituntut ialah penarikan balik secara terbuka, jelas dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang telah dibuat, khususnya yang menyentuh maruah para sahabat Nabi.
"Ia bukan perbezaan pandangan fiqh, bukan ruang ijtihad, dan bukan perkara remeh yang boleh dilunakkan dengan permainan istilah," katanya dalam satu kenyataan mengulas permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh semalam yang telanjur mempersenda keperibadian sahabat Nabi s.a.w sebelum memeluk Islam dalam ceramahnya pada Ahad lalu.
Bagi Aiman Athirah, hal yang paling besar adalah isu tersebut adalah adab yang diutamakan dalam Islam ketika berkata kata terutama menyentuh para sahabat yang dijamin syurga.
"Ia adalah isu adab yang sangat asas dalam Islam, melibatkan kemuliaan insan-insan yang dipuji oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya, serta menjadi sebahagian daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Sejak awal, pendirian saya sebagai Ketua Wanita AMANAH adalah jelas iaitu sebarang kenyataan yang merendahkan, memperlekeh atau menghina Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan para sahabat Nabi s.a.w yang lain wajib ditolak dengan tegas," katanya.
Dalam kenyataan sama, Aiman berkata, umat Islam tidak memerlukan bahasa yang mengelirukan atau berlapik dalam isu tersebut.
Sebaliknya beliau berkata, apa yang diperlukan ialah penjelasan, kejujuran dan keberanian untuk mengakui bahawa penghinaan terhadap sahabat Nabi s.a.w adalah salah, tidak beradab, dan tidak boleh dinormalisasikan atas apa jua alasan termasuk atas nama 'khilaf'.
Semalam, Nik Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, dilaporkan telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad s.a.w dengan istilah 'bapa ceti' dan 'kaki zina' ketika menyampaikan ceramah.
Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat dan penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.
Nik Muhammad Zawawi berkata, ceramah beliau di Kuala Terengganu itu sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan terpilih yang dimuliakan Allah s.w.t




Comments