Remysta kemuka enam resolusi bangunkan DUN Moyog
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) N.26 Moyog, Remysta Jimmy Taylor (gambar) membentangkan enam resolusi utama membangunkan kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Antara resolusi itu ialah program tuisyen percuma bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan pelajar mampu mencapai keputusan yang baik.
"Bila ambil SPM, tuisyen percuma. Kita mahu anak-anak dan adik-adik di Moyog mendapat pendidikan setara dengan kawasan lain.
"Dengan keputusan yang baik, mereka boleh masuk universiti yang bagus, mencari pekerjaan baik dan seterusnya meningkatkan taraf hidup serta ekonomi keluarga," katanya dipetik dalam satu acara di Penampang.
Selain itu Remysta mahu pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di DUN berkenaan.
Beliau berikrar akan membawa lebih banyak kursus kemahiran melalui kolej komuniti, Institusi Latihan Perindustrian (ILP) dan GiatMARA untuk membuka peluang pekerjaan kepada belia Moyog.
Mengulas mengenai khidmat kesihatan kepada penduduk, beliau komited memperjuangkan pembinaan Hospital Penampang yang moden dan dilengkapi peralatan perubatan terkini.
"Selain mengurangkan kesesakan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, pembinaan kemudahan itu di Penampang dapat memastikan akses rawatan lebih dekat untuk penduduk Moyog.
"Penambahan klinik bergerak di kawasan seperti Kibaboig, Terowi, Pogunon, Timpangoh dan Maang juga penting bagi pemeriksaan asas serta rawatan segera kepada penduduk," tambahnya.
Selain itu, beliau juga menekankan komitmen untuk mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan tersebut, selain menjadikan Moyog sebagai hab pelancongan yang mampu memacu pendapatan komuniti setempat.









Comments