Rel, sains hayat bakal jadi sektor strategik baharu Selangor - Amirudin
- Suara Keadilan

- Oct 9
- 1 min read

Selangor bakal meneroka dua sektor strategik baharu sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri pada masa hadapan
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya perlu terus meneroka bidang baharu bagi menjamin kemampanan ekonomi negeri.
"Untuk masa hadapan, kita berhasrat membuka lembaran baharu dalam sektor rel dan sains hayat yang berpotensi besar menyumbang kepada pembangunan jangka panjang negeri
"Kedua-dua bidang ini perlu diberi tumpuan, sebab pertama untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat, dan satu lagi bagi mempersiapkan diri menghadapi kehidupan sebagai sebuah masyarakat yang semakin meningkat usia," katanya dipetik.
Amirudin berkata demikian menerusi ucaptama ketika majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada acara itu, Amirudin turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Air Lestari Sdn Bhd (ALSB), Heliosel, dan SmartSel, yang diwakili oleh MBI dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Sementara itu tegasnya, hala tuju Selangor kekal berasaskan pembangunan ekonomi berteknologi tinggi melalui projek utama seperti Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Taman Aero Selangor.
"Taman Aero Selangor disasarkan menjadi hab serantau bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta logistik kargo sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pusat ekonomi dan inovasi utama di rantau ini," ujarnya.









Comments