Rekod tujuh tahun PH: Bukti Melayu dibela, Islam diperkasa


Dakwaan kononnya orang Melayu dan Islam terancam sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan hanyalah naratif politik yang tidak berasaskan fakta.
Sebaliknya, rekod pentadbiran Kerajaan Negeri membuktikan kedua-dua agenda itu terus diperkasakan sepanjang hampir tujuh tahun lalu, demikian menurut calon PH Sikamat, Nor Azman Mohamad (gambar, kiri).
Beliau yang membawa misi PH mempertahankan kerusi itu dalam persaingan tiga penjuru berkata pihak tertentu terus memainkan sentimen kaum dan agama sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi.
"Sekiranya benar dakwaan bahawa orang Melayu dan Islam semakin terpinggir di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, maka rakyat berhak bertanya satu soalan yang mudah. Di manakah buktinya?" soal beliau dalam sidang media di Seremban hari ini.
Turut hadir calon PH Ampangan, Datuk Nazri Kassim dan calon PH Paroi, Ustaz Shahir.
Nor Azman berkata sepanjang hampir tujuh tahun di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, kerajaan negeri telah membuktikan komitmen membela masyarakat Melayu dan memperkasakan syiar Islam menerusi pelbagai dasar serta tindakan.
"Masyarakat Melayu terus dibela secara bermaruah manakala syiar Islam terus diperkasakan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Maqasid Syariah," katanya yang juga bekas Setiausaha Politik kepada MB Negeri Sembilan.
Nor Azman berkata pendekatan yang digunakan PN dan BN itu disifatkan sebagai tidak matang dan tidak bertanggungjawab kerana pilihanraya sepatutnya menjadi medan persaingan dasar, idea serta rekod pentadbiran dan bukannya menyebarkan ketakutan melalui sentimen perkauman dan agama.
Menurut PH, kekuatan orang Melayu tidak boleh diukur melalui slogan politik semata-mata, sebaliknya perlu dibina menerusi pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, peluang perniagaan dan institusi Islam yang terus diperkasakan.
"Kami percaya orang Melayu Islam Negeri Sembilan akan menjadi lebih kuat apabila mempunyai pendidikan yang lebih baik, pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi, peluang perniagaan yang lebih luas dan institusi Islam yang terus diperkasakan melalui dasar yang konsisten," kata beliau.
Beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya tidak terpengaruh dengan kempen yang memainkan sentimen kaum dan agama sebaliknya menilai kerajaan berdasarkan rekod pentadbiran serta manfaat yang telah dinikmati rakyat sepanjang tujuh tahun lalu.
"Nilailah berdasarkan rekod. Nilailah berdasarkan fakta. Nilailah berdasarkan apa yang telah dilaksanakan sepanjang tujuh tahun yang lalu," katanya.
Untuk rekod pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Datuk Seri Aminuddin Harun mengekalkan kerusi Sikamat dengan majoriti sebanyak 2,662 undi.
PH turut memberikan tumpuan mempertahankan kerusi Ampangan apabila Nazri berdepan persaingan tiga penjuru dengan bekas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek dari PN-Pas dan Noor'Azah Harun (Bersatu).
Calon PH Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah turut berdepan perlawanan tiga penjuru menentang PN dan Bersatu.




Comments