Rekod PH cemerlang, BN-PN terpaksa main sentimen kaum - Sim


Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mendakwa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) cenderung memainkan sentimen perkauman dan menyerang DAP kerana kegagalan mereka menampilkan rekod pentadbiran setanding Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, tindakan pihak lawan menggunakan naratif yang berbeza mengikut kaum ketika berkempen membuktikan mereka tidak mempunyai pendirian yang konsisten, sebaliknya sanggup bermuka-muka demi memenangi undi.
"Di hadapan masyarakat Cina, mereka mendakwa Anwar Ibrahim (perdana menteri) tidak menjaga kepentingan orang Cina.
"Namun, apabila berdepan kaum lain, mereka menakut-nakutkan rakyat dengan mendakwa Anwar dikawal DAP dan semua sumber disalurkan kepada masyarakat Cina," katanya dipetik laporan media.
Menerusi ucapannya Steven turut menyeru rakyat terus memberi peluang kepada PH meneruskan pentadiran Negeri Sembilan.
Gabungan itu jelasnya mempunyai rekod pencapaian jelas sepanjang mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018, termasuk dari segi kewangan negeri, pelaburan dan rizab.
"Lebihan hasil negeri meningkat daripada RM140,000 pada 2018 kepada lebih RM203 juta pada 2025 selain berjaya menarik pelaburan melebihi RM19 bilion tahun lalu, berbanding RM2.9 bilion pada 2018.
"Rizab negeri juga meningkat 45.4% daripada RM688 juta kepada RM1 bilion. Semua ini ialah pencapaian yang dibuktikan menerusi rekod dan data," katanya.




Comments