
Pembebasan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman menggunakan alasan afidavit bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail sebelum ini yang didakwa menolak mendakwa Musa dianggap lemah.
Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata, terdapat beberapa perkara lain yang perlu diteliti oleh Peguam Negara untuk meneruskan pendakwaan berbanding menarik balik pendakwaan.
"Pada saya afidavit yang diberikan Gani Patail itu di luar pengetahuan dia. Bagaimana Gani Patail tahu ada bukti yang tidak kukuh? Adakah siasatan dibuat? Di mana bukti terhadap semua penerangan kepada perkara ini?" tanyanya.
Sehubungan itu, William menggesa Peguam Negara Idris Harun menjelaskan hal tersebut secara terperinci kepada rakyat dan bukan hanya mendengar apa yang diikrarkan oleh Gani Patail semata-mata.
Katanya, rakyat ingin tahu apa yang mahkamah sudah lakukan terhadap kes- kes penyelewengan serta rasuah yang dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
"Mahkamah dan peguam negara patut berikan jawapan kukuh kenapa kes Musa Aman dibebaskan (ditarik balik). Ini menjadi tanda tanya rakyat, Idris Harun harus bertanggungjawab dan berikan bukti bahawa siasatan baru sudah dibuat.
"Alasan demi alasan tidak boleh diterima sedangkan rekod kewangan negara boleh diguna pakai untuk perbicaraan kes ini.
"Idris tidak boleh buat keputusannya sendiri, jawatan yang disandangnya itu diamanahkan untuk beliau bertindak telus dan jujur," kata William lagi.
Pada 9 Jun lalu, Musa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi apabila pihak pendakwaan menarik balik 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.
Pembebasan Musa itu mengejutkan rakyat Malaysia bedasarkan amaun dan tuduhan ke atas beliau yang berprofail tinggi.