top of page

Kerajaan MADANI pastikan projek pembangunan rakyat tidak terjejas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan MADANI komited memastikan semua projek pembangunan rakyat yang dirancang tidak terbengkalai meskipun negara berdepan tekanan kos akibat krisis bekalan global.


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata komitmen itu penting bagi mengelakkan beban lebih besar sekiranya projek gagal dilaksanakan mengikut perancangan.


Justeru jelasnya, pihaknya akan menyusun langkah intervensi secara berfasa tanpa menjejaskan disiplin fiskal negara bagi memastikan projek dirancang untuk rakyat lancar.


"Perkara ini akan diperincikan secara bersama antara pihak kerajaan dan industri untuk menampung implikasi kos yang berlaku," katanya dalam Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di Putrajaya pada Selasa.


Akmal Nasrullah sementara itu menjelaskan, sektor pembinaan kini berdepan tekanan kos yang ketara dengan purata kenaikan harga tujuh bahan utama direkodkan sekitar 12.59 peratus.


"Ini bermakna sebarang kenaikan harga bahan binaan boleh memberi kesan langsung kepada kos projek, aliran tunai kontraktor dan kelancaran pelaksanaan projek di tapak.


"Kerajaan memandang serius keadaan itu memandangkan projek pembangunan melibatkan keperluan asas rakyat termasuk jalan, sekolah, klinik dan infrastruktur awam," katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata kesan sebenar krisis bekalan global terhadap pasaran buruh dijangka lebih ketara pada suku kedua tahun ini berikutan faktor kesan tertunda.


Sehubungan itu, Kerajaan akan terus memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan latihan serta penempatan pekerjaan, selain menyokong pekerja dan majikan bagi menghadapi cabaran mendatang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page