Proses rejuvenasi akan dilaksanakan ke atas Wilayah Persekutuan Labuan dalam memastikan ia menjadi hab ekonomi, pelancongan dan pendidikan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata sebagai langkah ke hadapan, kerajaan akan memastikan isu infrastruktur asas bekalan air bersih dan elektrik di pulau bebas cukai itu diselesaikan secepat mungkin.
"Empat projek bekalan air jangka pendek dijangka siap pada 2025.
"Pengukuhan bekalan elektrik Labuan melalui projek ladang solar dan peningkatan kapasiti pencawang pembahagi utama Enoe giat dilakukan," katanya dalam infografik yang dikongsi melalui hantaran di Facebook.
Perkara itu merupakan antara 10 pencapaian sepanjang tempoh 100 hari pentadbirannya di Jabatan Wilayah Persekutuan sejak Disember lalu.
Zaliha berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM48.3 juta geran di bawah Pasukan Khas Bekalan Elektrik Sabah.
Selain itu jelas beliau, sebanyak 113 program kementerian dan agensi dilaksanakan tahun ini bagi memberikan manfaat kepada limpahan sosio ekonomi warga Labuan.
Zaliha berkata pihaknya juga menubuhkan tiga pasukan khas untuk meneliti keperluan rakyat Labuan antaranya membabitkan pelancongan, Jambatan Labuan dan pemindahan penghantaran.
Terdahulu beliau berkata, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pengecualian dasar kabotaj di Labuan bagi meningkatkan aktiviti ekonomi dan mengembalikan fungsi serta merancakkan Pelabuhan Labuan sebagai pelabuhan bebas cukai.
Laporan media tempatan sebelum ini menyebut Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) telah menyumbang lebih RM1 bilion kepada hasil fiskal negara pada 2022 menurut Timbalan Menteri Kewangan II ketika itu, Steven Sim.
Beliau berkata, jumlah tersebut merupakan kutipan paling tinggi sejak tahun 1990 dan melonjak sebanyak tujuh kali ganda sejak 2018 setelah kerajaan melaksanakan peraturan Keperluan Fizikal Ekonomi pada 2019.
Labuan IBFC merupakan antara tiga pusat kewangan antarabangsa utama di Asia Pasifik yang tertumpu kepada perniagaan perbankan luaran, insurans semula dan syarikat insurans kaptif (selain Singapura dan Hong Kong) dengan memiliki 70 buah bank yang menjalankan perbankan luaran manakala Singapura (99) dan Hong Kong (61).
Comments