
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menasihatkan pemandu yang pulang ke kampung halaman sempena cuti panjang pada Hari Raya Aidiladha ini untuk berehat secukupnya agar tidak mengalami gejala microsleep yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.
"Memandangkan ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman malam ini, saya terpanggil untuk mengingatkan agar para pemandu sentiasa berhati-hati di jalan raya.
"‘Microsleep’ boleh terjadi sewaktu memandu dan ia akan membahayakan keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam perutusan khas Aidiladha.
Di samping itu Dr Zaliha juga mengingatkan agar rakyat menginsafi pengorbanan masyarakat di sekeliling pada Hari Raya Korban ini.
"Bersempena hari yang mulia ini, bersama kita menginsafi pengorbanan mereka yang berada di sekeliling kita dalam memastikan kesihatan serta kemaslahatan keluarga, komuniti dan negara.
"Semoga Allah memberkati kita semua," katanya.