top of page

Reformis teguh pendirian, tahan uji akan terus bersama KEADILAN - Saifuddin Nasution



KEADILAN akan terus memperjuangkan agenda reformasi tanpa gentar biar pun segelintir pimpinannya berpaling tadah.


Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semangat reformasi perlu mengakar dalam diri pimpinan dan ahli parti bagi menghadapi pelbagai tribulasi dan ancaman dari pemerintah yang semakin tersepit.


Katanya, pemergian beberapa pimpinan dan yang terbaharu bekas Naib Presiden Datuk Dr Xavier Jayakumar tidak seharusnya melemahkan semangat perjuangan.


"Sebagai seorang yang lama mengenali Dr Xavier Jeyakumar - tindakan dan alasan-alasan beliau dalam kenyataan hari ini (meninggalkan parti) menimbulkan pelbagai tanda tanya.


"Namun yang membezakan reformis tulin dengan yang lain ialah tahan diuji pada masa senang dan sukar.


"Saya ulangi gesaan agar semua Ahli Parlimen KEADILAN untuk kekal teguh dan istiqamah berpegang kepada prinsip dan landasan perjuangan reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan atau ugutan," kata Saifuddin dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, Dr Xavier sebelum ini telah memaklumkan kepada kepimpinan KEADILAN bahawa beliau telah dijadikan sasaran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan diugut oleh seorang menteri kanan untuk menyokong kerajaan memerintah.


"Dr Xavier baru-baru ini telah bertemu pimpinan KEADILAN memaklumkan bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah suruhanjaya itu sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan.


"Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional atau hadapi akibat yang serius.


"KEADILAN sebuah parti reform. Pendirian kami amat jelas dalam menentang rasuah, salahguna kuasa dan pelanggaran undang-undang tanpa mengira pangkat dan kedudukan," katanya.


Sehubungan itu, Saifuddin mengecam apa yang didakwa beliau penggunaan berterusan instrumen pemerintah untuk menekan dan menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang berkhianat.


Katanya, tidak sewajarnya politik ugutan dan rasuah digunakan untuk menguatkan parti pemerintah yang minioriti dan tidak tentu keabsahannya.


"Hal yang berlaku sekarang adalah instrumen pemerintah termasuk SPRM sedang diperguna ahli politik kanan untuk mengalih sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang kepada pemerintah.


"Ini satu bentuk salahguna kuasa, terutama tatkala kita sedar isu rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan pihak Perikatan Nasional seperti tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib.


"Amatlah jelas kerajaan minoriti hari ini berlapik dengan alasan darurat dan menggantung Parlimen tetapi pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan lebih ramai Ahli Parlimen dengan cara menggunakan agensi-agensi tertentu melalui taktik umpan habuan, tekanan dan ugutan," katanya kesal.


Menurut Saifuddin, KEADILAN dan Pakatan Harapan akan kekal dengan halatuju sedia ada, yakni terus mempertingkat persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke 15 dan pada masa yang sama berusaha mengembalikan mandat rakyat sesuai kerangka undang-undang dan perlembagaan.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page