top of page

MAPPA 20: Insentif perkhidmatan awam bukti ekonomi pulih

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 30
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Insentif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Kali Ke-20 baru baru ini memberi suntikan semangat baharu kepada warga perkhidmatan awam apabila pelbagai manfaat diumumkan khusus bagi peningkatan kebajikan serta memperkasa kualiti penyampaian.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, Faezuddin Puad (gambar) berkata, langkah kerajaan ini dilihat sebagai usaha menyalurkan peruntukan tambahan kepada penjawat awam dan membuktikan hasil negara berada pada kedudukan stabil susulan pelaksanaan dasar-dasar reformasi ekonomi yang kini menampakkan keberhasilan.


"Apabila kerajaan berani menambah insentif, itu petanda ada kemampuan kewangan.


"Maknanya hasil negara meningkat dan lebihan itu diagihkan semula kepada penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran," kata Faezuddin kepada Suara Keadilan.


Menurut beliau, selain aspek ekonomi tumpuan kerajaan adalah bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan kualiti perkhidmatan awam agar setanding dengan negara maju seperti Singapura, Jepun dan United Kingdom.


Ujarnya, kecekapan serta integriti penjawat awam dilihat sebagai pemangkin kepada kelancaran pelaburan dan keyakinan pelabur asing.


"Isu disiplin dan budaya kerja dalam kalangan penjawat awam turut diberi penekanan. Antaranya ketepatan masa, kesungguhan bekerja dan menghindari rasuah dianggap kunci kepada transformasi perkhidmatan awam.


"Perdana Menteri sebelum ini tegaskan kerajaan mahu membanteras ketirisan agar Malaysia mampu menjadi destinasi pelaburan yang diyakini.


"Maka usaha kerajaan mahu menjadikan institusi latihan seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebagai pusat kecemerlangan serantau melalui galakan, program latihan, biasiswa, serta peluang melanjutkan pengajian diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penjawat awam supaya mampu bersaing di pentas global," ujar Faezuddin lagi.


Kata Faezuddin, selain itu manfaat lain seperti elaun yang lebih baik dan penyediaan tempat tinggal sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terpelihara.


"Langkah ini diyakini melahirkan tenaga kerja yang lebih produktif, berdisiplin dan berorientasikan rakyat.


"Usaha Kerajaan Perpaduan ini dilihat bukan sekadar memberi insentif kewangan, tetapi membawa mesej lebih besar, iaitu reformasi pentadbiran negara berpaksikan ilmu, integriti dan kepentingan rakyat.


"Dengan penjawat awam yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing, Malaysia diyakini mampu melangkah ke arah perkhidmatan awam berkelas dunia," kata Faezuddin lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page