Reformis diseru tidak terlibat sebarang himpunan
- Suara Keadilan

- Jul 27, 2024
- 2 min read

Ceramah dan himpunan yang dianjurkan NGO Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0 tidak wajar disertai oleh penggiat reformasi atau aktivis reformis.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansur Amer Mohd Isa berkata, sebagai gerakan yang berjuang untuk perubahan sejak 1998, tugas para reformis hari ini adalah mengisi roh reformasi ke dalam pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sebaliknya.
Katanya, PKORM dan ahlinya tidak akan terlibat menyokong himpunan selamatkan Malaysia atau mengadakan himpunan balas kepada anjuran NGO pro pembangkang itu.
"Kita tidak terlibat sama sekali atas sama ada bersama demonstran Selamatkan Malaysia 2.0 atau pun sebelah pihak yang satu lagi (himpunan balas).
"Tidak ada sebarang bentuk demonstrasi balas atau provokasi," katanya.
Bagaimanapun, menurut Mustapa Mansur, PKORM terbuka kepada kebebasan bersuara dan berhimpun anjuran mana mana pihak.
Cuma beliau menasihati himpunan tidak boleh dilakukan secara provokasi, menghina atau mencaci dalam konteks sebuah negara merdeka dan berbilang kaum.
"Saya menyeru Otai Reformis agar menjauhkan diri dari sebarang bentuk provokasi, kita tidak mahu terlibat sama sekali, biarlah pihak polis laksanakan tugas mereka sebaik mungkin sekiranya ada unsur mencetuskan kerisauan rakyat.
"Saya berharap seluruh rakyat Malaysia tidak terpancing dengan fitnah. Kita rakyat merdeka, kita boleh berfikir dengan baik. Sekiranya ada pihak mahu menjatuhkan kerajaan, sila gunakan pilihanraya. Guna sebaik mungkin hak bersuara di peti undi. Bukan guna kebebasan bersuara selain di tempat itu," katanya.
Beliau berpendapat jika benar pihak pembangkang mahu menjatuhkan kerajaan, hal itu boleh dilakukan melalui Undi Tidak Percaya di Dewan Rakyat dan PM telah beberapa kali berkata beliau terbuka menerima cabaran berkenaan.
Untuk rekod, pihak polis mengesahkan telah menerima pemakluman mengenai penganjuran himpunan bertemakan 'Mahkamah Rakyat Hukum Anwar' pada Rabu lalu daripada penganjur, Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0.
Bagaimanapun polis berkata penganjuran perhimpunan itu didapati tidak lengkap serta tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Himpunan tersebut dijadual diadakan sekitar negeri Perak khususnya membabitkan kawasan di parlimen Tambun bermula 26 Julai hingga Ahad ini.









Comments