Reformis anjur Hari Keluarga Kebangsaan tingkat perpaduan, perkukuh reformasi
- Suara Keadilan

- Dec 29, 2025
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Program Hari Keluarga & Rapat Reformis Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 3 Januari tahun hadapan bakal menjadi medan penting untuk memperkukuh semula semangat, menyusun strategi sekali gus memperkemas hala tuju gerakan reformasi di seluruh negara.
Pengarah program, Senator Amir Md Ghazali berkata, pelbagai program yang diisi bakal memberikan manfaat kepada para reformis di seluruh negara dari Johor, Perlis hingga Sabah dan Sarawak.
"Pihak kami sebagai penganjur ingin memberikan satu natijah hasil daripada program tersebut supaya ia dapat memperkuatkan tautan kasih sayang, perpaduan dalam kalangan reformis seluruh negara.
"Kita tahu sejak tiga tahun Datuk Seri Anwar (PMX) membawa (mentadbir) negara ini, banyak perkara-perkara reformasi yang telah dijalankan di peringkat pentadbiran Kerajaan MADANI.
"Jadi sebagai reformis di peringkat parti KEADILAN, kita menyokong kuat sebagai pendokong reformis agar Kerajaan MADANI ini terus berpegang kepada agenda reformasi dalam negara," katanya dalam sidang media program berkenaan yang diadakan di sebuah restoran di Wangsa Maju hari ini.
Program tersebut bakal berlangsung di Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang, Selangor.
Di samping itu, ujar Amir lagi, program itu antara lain adalah untuk membaiki dan memperkukuh gerakan reformasi di seluruh negara.
"Pihak kami juga menjemput semua warga yang mempunyai semangat roh reformasi hadir beramai-ramai untuk kita 'touch up' lagi kekuatan dan perpaduan dalam kita merancang, membina dan menggerakkan sebagai tulang belakang kepada negara iaitu sebahagian daripada reformis membaiki negara ke arah lebih baik, lebih maju, cemerlang dan lebih hebat di mata dunia," katanya.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa yang turut bersama dalam sidang media itu, turut menzahirkan harapan agar perjuangan reformis akan dapat diteruskan oleh golongan muda atau pelapis.
"Seperti mana yang selalu diungkapkan oleh Datuk Seri Anwar bahawa perjuangan ini bukan perjuangan muslimat, bukan (tahun) 98, 99 atau pun sebelumnya.. bukan.. tapi ini adalah perjuangan yang panjang dan titik henti perjuangan ini adalah apabila kita dipanggil oleh Ilahi.
"Kefahaman ini harus disebarkan.. (dan) bagaimana untuk sebarkan? Kita adakan program-program seperti ini, kita jemput reformis, jemput mereka yang mahu bersama dengan kita, kita jemput reformis yang berusia bersama anak-anak dan cucu mereka, kerana perjuangan ini harus ada penerusnya.
"Kita sedar sebahagian reformis sudah tua dan sudah sampai masanya kita nak 'pass baton' kepada generasi seterusnya. Kita perlu ada legasi kepada perjuangan ini," katanya.




Comments