Reformasi total: Tabung Haji bukti perubahan budaya tatakelola
- Sidiqin Omar

- 22 minutes ago
- 2 min read

Pendedahan kepada umum Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) membuktikan perubahan besar dalam budaya pentadbiran negara apabila isu yang sebelum ini berlarutan kini dibuka untuk penelitian awam serta tindakan susulan, kata Ketua Cabang KEADILAN Pontian, Haniff Hosman (gambar).
Menurut beliau, tindakan Kerajaan MADANI mendedahkan laporan RCI, membentangkannya di Parlimen serta memberi ruang kepada siasatan dan tindakan undang-undang menunjukkan pendekatan pentadbiran berbeza berbanding budaya lama yang cenderung “menyapu masalah ke bawah karpet” demi mengelakkannya menjadi beban politik.
"Ini sebenarnya reformasi total. Kita bukan hanya bercakap tentang perubahan kerajaan, tetapi perubahan budaya pentadbiran. Kalau ada kesalahan, ia perlu didedahkan, disiasat dan mereka yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan.
"Tabung Haji bukan milik mana-mana kerajaan atau parti politik. Ia adalah amanah jutaan umat Islam dan melibatkan simpanan rakyat untuk menunaikan ibadah haji," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata keputusan Jemaah Menteri pada 29 Julai 2026 untuk mengarahkan JAKIM menyiarkan laporan RCI yang telah dikelaskan semula sebagai dokumen terbuka merupakan langkah penting ke arah ketelusan.
Haniff berkata, manfaat paling besar daripada proses reformasi itu akhirnya kembali kepada para pendeposit, kerana pemulihan kewangan, pengukuhan tadbir urus dan ketelusan pengurusan dapat meningkatkan keyakinan umat Islam terhadap institusi tersebut.
"Pendeposit mahu tahu duit mereka diurus dengan baik. Mereka mahu agihan keuntungan dibuat berdasarkan kedudukan kewangan sebenar dan bukan angka yang direka atau disembunyikan.
"Apabila kewangan lebih kukuh dan tadbir urus diperbaiki, pendeposit mendapat manfaat. Lebih penting, keyakinan umat Islam terhadap Tabung Haji dapat dipulihkan," katanya.
Data rasmi menunjukkan kedudukan TH kini jauh lebih kukuh, dengan aset berjumlah RM98.58 bilion mengatasi liabiliti RM95.63 bilion pada akhir 2025.
Dana simpanan pendeposit pula meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025, manakala agihan keuntungan meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025, berjumlah RM3.22 bilion
Perubahan turut dapat dilihat dalam kaedah pengiktirafan keuntungan apabila TH kini mengumumkan agihan keuntungan berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit dan langkah itu dilaksanakan sejak 2022 susulan syor RCI.
"Ini bukan sekadar soal berapa peratus dividen atau agihan keuntungan. Ini soal bagaimana amanah umat Islam diurus. Bila akaun diaudit dan angka kewangan sebenar dibentangkan, pendeposit boleh melihat kedudukan sebenar institusi yang mereka percayai," katanya.




Comments