top of page

Reformasi struktur satu keperluan hadapi gelora ketidaktentuan global - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 17
  • 2 min read
DS Anwar merasmikan Simposium Sasana 2025 dan melancarkan Digital Asset Innovation Hub. Foto: FB Anwar
DS Anwar merasmikan Simposium Sasana 2025 dan melancarkan Digital Asset Innovation Hub. Foto: FB Anwar

Oleh: Helmi Mohd Foad


Malaysia perlu melakukan reformasi struktur melalui usaha membuka potensi pertumbuhan dan membina penampan agar negara mampu menghadapi badai di tengah gelora ketidaktentuan geopolitik dan dasar, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata negara ini yang mempunyai ekonomi kecil dan terbuka perlu menyesuaikan diri dengan dasar, mempunyai institusi yang kukuh dan jelas arah tuju.


"Reformasi struktur bukan mengenai kenyataan-kenyataan sensasi untuk tajuk utama. Ia berkenaan membuka potensi pertumbuhan negara, memupuk kemakmuran yang menyeluruh, serta membina penampan secara berperingkat agar kita mampu menghadapi badai.


"Di seluruh dunia, kita sedang menyaksikan satu trend yang membimbangkan: pertumbuhan yang perlahan, didorong oleh ketidaktentuan geopolitik dan dasar," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Sasana 2025 dan melancarkan Digital Asset Innovation Hub di Kuala Lumpur hari ini.


Hadir sama Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.


Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan bahawa reformasi bukanlah satu kemewahan sebaliknya merupakan satu keperluan negara.

DS Anwar memberi ucapan kepada peserta Simposium Sasana 2025 di Kuala Lumpur
DS Anwar memberi ucapan kepada peserta Simposium Sasana 2025 di Kuala Lumpur

Melalui agenda reformasi MADANI, beliau menjelaskan kerajaan memberikan keutamaan kepada lima bidang kritikal iaitu kemampanan fiskal dan tadbir urus melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta penyatuan fiskal jangka sederhana.


Selain itu kata beliau rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara bersasar supaya bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan melakukan reformasi cukai dengan memperluas asas hasil negara, memperkukuh penguatkuasaan dan menangani ketirisan tanpa membebankan golongan miskin.


Perdana Menteri berkata usaha juga dilakukan bagi meningkatkan modal insan melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kemahiran digital dan reformasi pasaran buruh.


Katanya reformasi juga melibatkan integriti institusi di mana ketelusan, penguatkuasaan anti-rasuah dan akauntabiliti diterapkan di seluruh kementerian dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.


Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bersama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti adalah mampu milik dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.


"Dalam kita mengejar reformasi dan ketahanan, kita tidak boleh melupakan cabaran semasa yang memberi kesan langsung kepada rakyat – dan tiada yang lebih mendesak daripada kenaikan kos penjagaan kesihatan.


"Bagi ramai rakyat Malaysia, penjagaan kesihatan swasta semakin tidak mampu diakses akibat inflasi kos perubatan yang tinggi. Ini bukan sekadar isu ekonomi; ia adalah soal kesejahteraan negara," ujarnya.


Jelas Perdana Menteri langkah tersebut "bukan pembaikan kecil" sebaliknya satu perubahan menyeluruh ke arah sistem penjagaan kesihatan swasta berasaskan nilai yang mengutamakan hasil rawatan, ketelusan dan keadilan.


"Antara reformasi utama termasuk harga rawatan yang lebih jelas, sistem kesihatan digital yang lebih kukuh dan akses yang diperluas melalui produk insurans asas kesihatan sejagat. Sesi esok oleh KKM, Kementerian Kewangan dan Bank Negara akan mengupas lebih lanjut inisiatif ini.


"Hasrat kita ialah untuk menjadikan penjagaan kesihatan sebagai tiang utama ketahanan negara, dipandu oleh belas ihsan, dasar yang berasaskan bukti dan memenuhi keperluan rakyat. Dan saya beri jaminan: Saya sendiri akan memastikan reformasi ini berjaya," tegasnya.

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page