Reformasi sosial diperkukuh: Selangor lancar dasar OKU bulan depan
- Suara Keadilan

- Dec 13, 2025
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor bakal melancarkan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor yang menekankan prasarana mesra dan inklusif pada Januari depan.
Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari (gambar), berkata dasar komprehensif yang sejajar ikhtiar pentadbiran negeri memperkukuh akses serta peluang saksama untuk golongan tersebut kini pada peringkat akhir perincian dan bakal dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) minggu depan bagi kelulusan.
"Dasar ini sudah hampir selesai, cuma ada beberapa perkara yang sedang diselaraskan dengan pihak PLANMalaysia berkaitan pertindihan bidang kuasa," katanya dipetik.
Menurut Anfaal, dasar tersebut memberi tumpuan kepada dua teras utama — akses fizikal melalui reka bentuk sejagat, serta pemerkasaan OKU melalui latihan dan peluang pekerjaan.
"Kita mahu OKU berkemahiran diserap dalam syarikat yang bersedia. Kerjasama dengan Perkeso dan JKM akan memastikan peluang itu dapat direalisasikan," tambahnya.
Beliau sementara itu turut menegaskan, sebagai pelengkap, dasar itu turut akan diperkasa melalui Program Inklusif Inovasi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS-SIP 2026), yang membuka ruang kepada universiti, badan bukan kerajaan (NGO), konsultan, badan penyelidikan dan perusahaan sosial mengemukakan cadangan inovatif bagi mengukuhkan ekosistem OKU di Selangor.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada Khamis memaklumkan sejumlah 805,509 OKU berdaftar direkodkan di Malaysia pada 2024, mewakili 2.4 peratus daripada jumlah penduduk.
Data tersebut menekankan kepentingan dasar dan polisi inklusif untuk memastikan hak dan peluang yang sama bagi semua rakyat, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal.




Comments