Reformasi segera sistem, mekanisme keselamatan sekolah - Fadhlina
- Suara Keadilan

- Oct 16
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan akan melaksanakan reformasi segera ke atas sistem dan mekanisme keselamatan di sekolah bagi memastikan perlindungan optimum kepada murid dan warga pendidik di seluruh negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek (gambar) berkata, reformasi segera itu akan menumpukan kepada lima fokus utama dalam kerangka Sekolah Selamat, iaitu kesihatan mental; pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial bagi menangani keganasan seksual terhadap kanak-kanak; pencegahan bahan terlarang; dasar perlindungan kanak-kanak; sokongan dan perhatian kepada guru; serta suara murid.
Beliau berkata, kesihatan mental akan diberikan keutamaan melalui pengukuhan dan intervensi khususnya dengan pengukuhan ekosistem sokongan kepada guru bimbingan dan kaunseling serta para murid .
''Pemerkasaan Sekolah Selamat dan program pendidikan yang sedang berjalan dengan usaha merentasi kementerian terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pendekatan seluruh masyarakat melibatkan antaranya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menghadapi cabaran di hadapan kita.
''Ia akan menjadi satu usaha intensif dan berterusan dengan kesemua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dikerah untuk pelaksanaan secara praktikal dan efisien di semua 10,243 sekolah di seluruh Malaysia secara serta-merta.
''KPM juga akan menilai keberkesan usaha ini secara intensif dan berterusan selain pemantauan dan penilaian pelaksanaan terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak sekolah turut akan dinilai semula setiap 15 hari,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan tindakan segera dan menyeluruh yang telah dan akan diambil bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol dalam kelas tidak berulang.
Ia termasuk dari segi keselamatan fizikal di sekolah pengawasan guru, mekanisme aduan yang efektif serta sokongan kepada mangsa dari aspek psikososial dan perundangan.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan bahawa beliau, timbalan menteri atau pengurusan tertinggi KPM akan terus mengadakan pertemuan dengan warga pendidik dan murid bagi mendengar dan mendapatkan input berkaitan pelaksanaan insiatif berkenaan.









Comments