top of page

Reformasi dan Perkara-perkara MoU Kerajaan PN - PH



Berikut menggambarkan transformasi-transformasi yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan.


1. Pemerkasaan Pelan Covid-19


1.1. Majlis Pemulihan Negara hendaklah terdiri daripada lima puluh peratus (50%) pakar-pakar daripada sektor awam dan swasta yang dilantik oleh Kerajaan sebagai penasihat dengan mana pihak Pembangkang boleh mengemukakan namanya, dua puluh lima peratus (25%) Ahli Parlimen Kerajaan dan dua puluh lima (25%) Ahli Parlimen Pembangkang;


1.2. Kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan had Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion. Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis Covid-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan;


1.3. Dalam menangani krisis kesihatan Covid-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes Covid-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau “find, test, trace, isolate, support and vaccinate” (FTTIS +V). Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyelarasan penempatan pesakit dari hospital awam ke hospital swasta,

selaras dengan pendekatan penggemblengan nasional “Whole of Nation”;


1.4. Untuk bantuan kepada rakyat, bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021. Bantuan tunai ini akan diteruskan pada tahun 2022 untuk golongan B40 meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan;


1.5. Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk kumpulan informal dan mikro;


1.6. Meningkatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan dengan mempercepatkan pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin lagi yang dijangka akan diterima menjelang awal September 2021;


1.7. Mengusahakan pengecualian bayaran faedah untuk moratorium pinjaman bank kepada kumpulan lima puluh peratus (50%) terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk tempoh tiga (3) bulan pada suku keempat 2021; dan


1.8. Klausa 1.1, 1.2, 1.3, 1.4. 1.5, 1.6 dan 1.7 hendaklah dilaksanakan dalam tempoh Penggal Ke-4 Parlimen (tahun 2021).


2. Transformasi Pentadbiran


2.1 Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti dan/atau undang-undang yang berkenaan akan dibentang dan dilulus di Parlimen mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan/atau mana-mana undangundang berkaitan;


2.2 Memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepatkan lagi tindakan untuk pelaksanaan pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara otomatik, termasuk memperhalusi pengecualian kepada Raja Memerintah, Waris Takhta dan Tuan Yang Di Pertua Negeri bersekali dengan pasangan masing-masing;


2.3 Membentangkan dan meluluskan suatu RUU Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi sepuluh (10) tahun.


2.4 Klausa 2.1, 2.2 dan 2.3 hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Parlimen (tahun 2022).


3. Pembaharuan Parlimen (Parliamentary Reform)


3.1. Membentang dan meluluskan Undang-undang berkaitan Perkhidmatan Parlimen setelah diadakan perbincangan, libat urus dan persetujuan Yang Di-Pertua kedua-dua Dewan untuk mewujudkan semula kebebasan kewangan dan pentadbiran Parlimen. Klausa ini hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Parlimen (tahun 2022);


3.2 Memastikan Parlimen menstruktur semula Jawatankuasa Pilihan Khas yang sedia ada dan menambah lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengikut keperluan dengan Jawatankuasa Dewan bagi kedua-dua Dewan menetapkan terma rujukan dan fungsi serta bidang kuasanya;


3.3 Memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbangsupaya terbayang di dalamnya kadar parti masing-masing di dalam Majlis seperti termaktub di dalam Perkara 82(1) Peraturan Mesyurat, dan memastikan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dipengerusikan secara sama rata oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang. Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan kakitangan sokongan dan elaun yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen;


3.4 Melaksanakan pindaan-pindaan yang perlu kepada Peraturan Mesyuarat (Standing Order), tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan Yang Di Pertua kedua-dua Dewan, bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan secara teratur dan berkesan;


3.5 Memperuntukkan dan menyalurkan peruntukan yang bersamaan dengan Ahli-ahli Dewan Rakyat Kerajaan kepada semua Ahli-ahli Dewan rakyat yang terlibat dalam Persefahaman ini, untuk menjamin khidmat yang berkesan dan manfaat akhir dinikmati rakyat;


3.6 Memastikan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat diberi hak dan kemudahan yang sewajarnya bagi memastikan Ketua Pembangkang

Dewan Rakyat dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih efektif dan menyeluruh; dan


3.7 Klausa 3.2, 3.3, 3.4, 3.5 dan 3.6 hendaklah dilaksanakan dengan serta merta.


4. Kebebasan Institusi Kehakiman


4.1. Memastikan terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman, tranformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara.


5. Perjanjian Malaysia MA63


5.1. Memperkukuh usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengannya.


6. Jawatankuasa Pemandu


6.1. Menubuhkan suatu Jawatankuasa Pemandu seramai sepuluh (10) orang yang terdiri dari lima (5) orang wakil Kerajaan yang dinamakan oleh YAB Perdana Menteri dan lima (5) orang wakil Pembangkang yang bertindak sebagai perunding, pemudah cara dan perwakilan sah bagi kedua-dua pihak. Status Jawatankuasa Pemandu ini akan berkuatkuasa sepanjang tempoh Memorandum Persefahaman ini berkuatkuasa dengan terma rujukan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.


6.2. Jawatankuasa Pemandu ini hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya satu (1) kali setiap dua (2) minggu, atau mengikut jadual yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page