Reformasi keselamatan: Perlindungan pelajar, kanak-kanak perlu diutamakan
- Suara Keadilan

- Aug 16
- 2 min read

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pandan, Mohd Ifwat Hamirudin menzahirkan dukacita dan solidariti penuh bersama keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu sekolah agama di Papar, Sabah, yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu dalam keadaan mencurigakan.
"Tragedi ini bukan sekadar kehilangan seorang pelajar, ia adalah isyarat jelas bahawa keselamatan dan maruah pelajar berasrama di negara ini memerlukan pembaharuan segera," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut merujuk insiden di Putrajaya baru-baru ini yang menyaksikan seorang kanak-kanak diserang secara kejam dengan jarum suntikan.
Katanya, kedua-dua kes tersebut membuktikan bahawa ancaman terhadap keselamatan pelajar boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

"Perlindungan terhadap pelajar dan kanak-kanak tidak boleh diletakkan pada nasib semata-mata," tegas beliau.
Sehubungan itu, AMK Pandan menggariskan beberapa yang perlu dilakukan bagi mengelak insiden sama berulang seperti penggubalan Akta Keselamatan Sekolah Berasrama; audit keselamatan tahunan oleh badan bebas di semua sekolah berasrama; pelaporan mandatori bagi semua kes buli, penderaan atau pengabaian; hukuman tegas terhadap pihak yang gagal membuat laporan atau menutup kes; penggubalan Rang Undang-Undang Koroner untuk siasatan telus setiap kematian mencurigakan; dan penetapan standard forensik kebangsaan supaya semua bukti diurus dengan piawaian tertinggi.
Menurut Ifwat lagi, keselamatan pelajar adalah soal hak asasi, maruah, dan masa depan negara yang wajib diutamakan.
"Anak muda tidak boleh hanya menjadi penonton. Kita mesti bersuara, mendesak, dan memastikan setiap nyawa yang hilang mendapat pembelaan yang adil," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh generasi muda untuk bangkit memperjuangkan isu berkenaan.
Kenyataan itu turut disokong oleh Pengerusi NGO SEJAGAT, Haqimi Zamri; Jurucakap Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR), Mohd Azha Salahuddin; Jurucakap Batalion Anak Muda, Nur Aina Abidah; Pengasas bersama NGO AKTIF, M.Jay Raj A/L P.Muresh; Pengasas bersama NGO Enlight, Alexander Louis Oh; Pengasas bersama NGO PANAS, Nur Shahidah Bahar; Pengerusi NGO Hayfazufar, Tengku Hazli; Pengasas bersama NGO GERGASI, Arvindkumar Gyanasegaran; Pengerusi NGO PANTAS, Mohd Shahir Mohd Dan; Pengerusi Gagasan Masyarakat Selangor, Mohd Izat; dan Jurucakap NGO EL AMIR, Ummu Aiman LM Azli.









Comments