Reformasi, keadilan sebagai teras - Amirudin Shari
- Suara Keadilan
- 2 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengerusi KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan parti tersebut merupakan asas kepada nadi rakyat sekali gus menjadi wadah kepada reformasi.
"Ini sangat penting kerana rakyat masih memerlukan pembelaan dan sokongan.. kita juga telah melaksanakan beberapa dasar di Selangor.. alhamdulillah telah berjaya.
"Selain itu, parti ini berdasarkan kesesuaian konteks pemilihan, turut menawarkan keadilan kepada rakyat Malaysia melalui landasan parti dan kepimpinan Presiden terhadap perubahan atau reformasi dengan menjadikan konsep keadilan sebagai teras.
"Rakyat yang berada di desa termasuk di Sabah dan Sarawak serta kawasan-kawasan tertentu akan mendapat pembelaan berasaskan nilai keadilan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pertemuan Khas Anggota dan Pimpinan Keadilan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, malam tadi.
Dalam ucapannya itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor turut menyentuh mengenai politik perkauman yang dimainkan sesetengah pihak.
"Kalau kita lihat permainan politik orang-orang yang cetek akalnya, tidak sudah-sudah (mereka) menjadikan kaum sebagai asas untuk bertempur.
"KEADILAN akan berdiri sebagai sebuah kubu yang akan menggagaskan identiti perpaduan dalam negara kita.
"Seterusnya, kita mahu menjadikan KEADILAN sebagai teras kesejahteraan. Sewaktu kita angkat polisi ekonomi, kita turut membicarakan tentang tarif dan pada masa sama, kita juga membantu para usahawan," ujarnya lagi.