Oleh: Abdullah Zaid
Gelombang dan semangat Reformasi yang bermula sejak tahun 1998 dihidupkan melalui penglibatan anak muda bagi mengangkat suara dan aspirasi rakyat.
Justeru, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Mohd Izuan Ahmad Kasim menyeru agar pemerkasaan sayap pemuda parti itu diberi ruang seluas-luasnya bagi melahirkan kepemimpin masa hadapan.
"Kita harus mengembalikan Pengerak Belia Selangor (PEBS) atau dipanggil PEBT (Pengerak Belia Tempatan) dikembalikan semula dan AMK diberikan peluang untuk memimpin dan mengerak Reformasi,” katanya dalam Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi, malam tadi.
Jelas Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara itu, samangat anak muda ketika era Reformasi yang menghidupkan gelombang kebangkitan sehingga ada di antara mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu semarakkan sekali lagi dalam usaha memperkuat Kerajaan Madani ketika ini.
"Uniknya Reformasi ketika itu, peranan anak muda bukan sahaja melalui bantahan jalanan tetapi platform siri wacana dan penulisan juga dibuat bagi memastikan Reformasi difahami semua golongan.
"Sehingga anak muda yang menjadi agen pencerahan dan ada yang ditahan di bawah Akta ISA," ujarnya.
Tambahnya, kewujudan gerakan Reformasi bagi membawa agenda perubahan seperti Kumpulan Jalan Telawi, Jingga 13 dan Akademik Pak Sako telah melahirkan pemimpin yang menerajui pucuk pentadbiran pada masa kini.
"Kumpulan Jalan Telawi yang telah melahirkan ramai pimpinan termasuk Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shaari) dan Najwan Halimi (ADUN Kota Anggerik).
"Saya juga lahir dari IKD (Institut Kajian Dasar), ramai kawan saya telah melompat kerana terkeluar dari landasan Reformasi tetapi saya memilih untuk kekal kerana ini adalah parti keramat parti masa depan," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Izuan berharap agar ruang liku membawa agenda Reformasi selama 25 tahun itu akan menjadi penguat dan motivasi buat generasi masa depan.
"Semoga apa yang telah kita lalui menjadi panduan kepada kita semua anak muda yang bertanggungjawab bawa anak muda jauh ke hadapan," ujarnya.
Comments