Reformasi fiskal, percukaian rancakkan ekonomi, tingkat bantuan kebajikan
- Suara Keadilan

- Jul 18
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen Bayan Lepas, Sim Tze Tzin, tampil sebagai wakil Malaysia dalam Forum Cukai Asia Pasifik yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini.
Dalam forum tersebut, beliau berkongsi mengenai pelbagai reformasi fiskal dan cukai yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sejak kebelakangan.
Katanya di depan hadirin, sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang tampuk pemerintahan reformasi fiskal telah dilaksanakan dengan sangat tegas.
''Antara contoh reformasi yang diketengahkan termasuklah pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal, yang bertujuan menghadkan defisit bajet.
''Selain itu, terdapat juga reformasi pencen perkhidmatan awam, peluasan skop SST untuk meningkatkan hasil kerajaan, dan usaha memerangi rasuah.
''Reformasi lain yang turut dilaksanakan adalah penyasaran semula subsidi bagi mengurangkan pembaziran, menarik pelaburan asing untuk merancakkan ekonomi dan hasil cukai, dan pelaksanaan Cukai Minimum Global,'' katanya dalam satu muat naik di Facebook.
Menceritakan lebih terperinci di pentas antarabangsa itu, Sim berkata, kerajaan turut meningkatkan perbelanjaan untuk kebajikan bersasar, menaikkan gaji minimum dan gaji penjawat awam bertujuan mengurangkan beban rakyat akibat pelaksanaan reformasi ekonomi.
Tze Tzin yang juga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menambah, untuk memberikan perspektif yang lebih jelas, kesemua langkah tersebut merupakan reformasi besar yang telah dilaksanakan dalam tempoh hanya setengah penggal.
''Tidak ramai yang benar-benar menghargai reformasi fiskal yang sedang dilaksanakan oleh PMX.
''Reformasi ini sememangnya menyakitkan, dan beliau menerima banyak kritikan kebelakangan ini.
''Namun, reformasi ini amat perlu untuk meletakkan kewangan Kerajaan Malaysia dalam keadaan yang jauh lebih kukuh untuk masa hadapan,'' ujarnya lagi.
Tze Tzin menyifatkan, Anwar yang juga Presiden KEADILAN telah menunjukkan keberanian dalam melaksanakan reformasi yang tidak popular namun amat diperlukan.
Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan kepada hadirin di rantau Asia Pasifik bahawa 'ahli politik memikirkan pilihan raya yang akan datang, tetapi negarawan memikirkan generasi yang akan datang'.









Comments