
Oleh: Abdullah Zaid
Meskipun dasar berjimat cermat Kerajaan Madani tidak popular di mata rakyat namun keberhasilan pelaksanaan itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak berkata, salah satu dasar yang mampu menaikkan pertumbuhan ekonomi adalah rasionalisasi subsidi bahan api dan ianya perlu dilakukan bagi memperbaiki keadaan fiskal negara yang membengkak akibat bebanan hutang setinggi RM1.5 trilion.

"Langkah berani kerajaan merasionalisasikan subsidi bahan api bukan sahaja menunjukkan political will yang tinggi tetapi kita tidak mahu terus memperbodohkan rakyat dengan tindakan populis (memberikan lebih banyak subsidi pukal tahun demi tahun) yang akhirnya memberi kesan buruk kepada rakyat dalam jangka masa panjang.
"Kita akui langkah yang dilakukan ini tidak popular, namun ia membawa kesan baik kepada (ekonomi) rakyat. Sebab itu kita tidak boleh terikut-ikut dengan dakyah pembangkang yang anti reformasi fiskal dan hanya mahu mendapatkan sokongan sahaja," katanya kepada Suara Keadilan.
Jelas beliau lagi, ekonomi negara dilihat kian pulih apabila laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 menunjukkan peningkatan 4.2%, selain lonjakan 1,600 mata pada indeks Bursa Malaysia dan juga aliran pelaburan asing menaik yang menunjukkan perkembangan ekonomi mampan berbanding sebelumnya.
"Semua ini berkait antara satu sama lain, kita mahu menarik pelabur lebih banyak supaya peluang pekerjaan lebih banyak dan prestasi ekonomi serta ringgit terus mengukuh.
"Sebab itu kita lakukan reformasi seperti penyasaran subsidi, semua ini akan memulihkan fiskal negara dan dengan cara itu kita dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat kerana ini adalah kesan berantai," ujarnya lagi.
Tegas Haziq, dengan kemasukan besar besaran pelaburan asing sehingga RM329.5 bilion maka kesan berantainya ialah peluang terbuka luas kepada rakyat Malaysia menikmati pekerjaan berpendapatan tinggi.
Katanya sekiranya pendapatan rakyat negara ini setanding Singapura misalnya, maka harga minyak bukan lagi merupakan suatu masalah.
Comentarios