top of page

Reformasi diutamakan: 'Perbezaan pandangan harus berpaksi realiti, bukan sentimen'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 3 min read

Perbezaan pandangan dalam kalangan rakan seperjuangan perlu dinilai secara terbuka dan berpaksikan realiti semasa, bukan sekadar sentimen atau persepsi semata-mata.


Hal itu ditegaskan oleh Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Danish Hairudin (gambar). Katanya, beliau mengambil maklum pandangan yang disuarakan oleh rakan seperjuangannya, Syukri Razab berhubung beberapa isu semasa, namun menegaskan keperluan melihat konteks Malaysia hari ini yang jauh berbeza berbanding era awal perjuangan reformasi.


"Saya faham kegusaran yang cuba disampaikan, kerana kita semua datang daripada perjuangan yang sama, perjuangan reformasi, keadilan dan perubahan untuk negara.


"Namun dalam menilai keadaan hari ini, kita juga perlu jujur melihat realiti bahawa Malaysia kini bukan lagi berada di posisi dahulu," katanya mengulas kritikan Syukri kononnya semangat reformasi telah malap selepas berjaya memerintah.


Menurut Danish, kebebasan berhimpun yang dinikmati termasuk mengkritik Perdana Menteri ketika ini merupakan hasil perjuangan lampau, namun hal itu perlu disertai dengan tanggungjawab.


"Isu himpunan anak muda misalnya, tidak pernah dinafikan hak mereka untuk bersuara. Kerajaan hari ini tidak menghalang kebebasan berhimpun seperti yang pernah kita lawan suatu ketika dahulu.


"Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu memastikan setiap suara yang dibawa berlandaskan fakta yang jelas dan tidak dipengaruhi oleh sentimen yang boleh mengelirukan rakyat. Dahulu kita turun ke jalan kerana ruang demokrasi disempitkan, hari ini ruang itu wujud dan ianya adalah hasil perjuangan yang kita bina bersama," katanya.


Mengulas mengenai Akta Hasutan, beliau mengakui ianya isu sensitif, namun kerajaan perlu mengambil pendekatan berhati-hati demi memastikan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama terus terpelihara.


"Sebagai kerajaan, tanggungjawab kita bukan sekadar mempertahankan prinsip, tetapi juga memastikan keharmonian negara terus terpelihara," katanya.


Beliau turut menolak perbandingan isu dakwaan melibatkan sejumlah RM9.5 juta yang ditohmah ke atas seorang menteri kerajaan hari ini dengan skandal 1MDB yang disifatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan.


"1MDB adalah skandal besar yang melibatkan berbilion ringgit dan rangkaian antarabangsa, dibuktikan melalui siasatan yang panjang dan terperinci.


"Hari ini, kita tidak boleh bertindak hanya berdasarkan tuduhan dan persepsi. Negara ini tidak boleh ditadbir dengan emosi."


Tambah beliau, tindakan seperti menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tanpa bukti kukuh boleh menjejaskan sistem keadilan negara.


Dalam pada itu, Danish juga menegaskan perubahan pendekatan pemimpin hari ini bukan bermakna meninggalkan prinsip perjuangan, sebaliknya menyesuaikan diri dengan tanggungjawab mentadbir negara.


"Ya, kita berubah tetapi bukan berubah prinsip. Kita berubah daripada hanya bercakap kepada melaksanakan. Kita berubah daripada sekadar mengkritik kepada membuat keputusan


"Saudara Syukri mungkin tahu dan faham keputusan dalam kerajaan tidak pernah mudah, kerana setiap satu daripadanya memberi kesan kepada jutaan rakyat, bukan sekadar pengikut di media sosial," ujarnya.


Menyentuh isu subsidi dan kos sara hidup, Danish menegaskan kerajaan terus berusaha memastikan bantuan disalurkan secara bersasar melalui inisiatif seperti BUDI MADANI.


"Dalam keadaan dunia yang berdepan krisis tenaga global, kerajaan masih berusaha memastikan bantuan sampai kepada yang layak melalui subsidi bersasar dan bantuan tunai seperti BUDI MADANI.


"Ini bukan soal meminta rakyat bersyukur, tetapi soal memastikan setiap sen wang negara tidak bocor kepada pihak yang tidak berhak," katanya.


Beliau menambah, matlamat semua pihak tetap sama iaitu membina Malaysia yang adil dan sejahtera, namun pendekatan mungkin berbeza.


"Kita tidak pernah meninggalkan prinsip. Kita hanya menyesuaikan pendekatan agar perjuangan ini terus relevan dan mampu bertahan dalam realiti sebenar pentadbiran negara.


"Dalam perjalan perjuangan ini apa yang paling penting bukan siapa yang paling lantang bersuara, tetapi siapa yang benar-benar mampu memastikan rakyat terus dilindungi, negara terus stabil, dan masa depan terus terjamin," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page