Konsert “Winds of Glory” bukti keupayaan pendidikan lahirkan bakat bertaraf dunia
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan konsert “Winds of Glory” malam tadi sebagai bukti keupayaan sistem pendidikan negara dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing hingga ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri konsert tersebut yang menampilkan Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) bersama penyanyi Amir Masdi.
Menurut Anwar, kejayaan SPWinds meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Emas di Vienna mencerminkan kekuatan ekosistem pendidikan negara yang didukung guru, ibu bapa serta masyarakat.
"(Konsert ini) memperlihatkan bagaimana pendidikan yang tuntas mampu melahirkan generasi muda yang berdaya saing, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di pentas antarabangsa," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan penggiat seni profesional memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar.
"Kerjasama strategik bersama penggiat seni profesional seperti Amir Masdi tidak semata memperkaya pengalaman pembelajaran, bahkan menjadi wahana penting dalam memperluas ufuk pemikiran dan keyakinan anak-anak kita," katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyeru semua pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat agar terus menyokong usaha pembangunan bakat seni generasi muda, khususnya dalam membuka laluan ke pentas global seperti World Music Contest 2026.
"Saya menyeru agar usaha murni ini terus disokong oleh semua pihak, termasuk sektor swasta dan masyarakat, demi memastikan perjalanan anak-anak ini ke pentas dunia seperti World Music Contest 2026 dapat dijelmakan. Walhasil, inisiatif seperti ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang membina legasi generasi yang berani, berbudaya dan berdaya saing di persada global," katanya lagi.
Konsert malam tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertemakan 'Rockestra', dengan kolaborasi artis terkenal tanah air, Amir Masdi dan buat julung kalinya diadakan dengan dukungan penuh Kementerian Pendidikan (KPM).
Datuk Seri Anwar pada majlis itu mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) (KSIB) Sekolah Seri Puteri sebagai tanda sokongan kepada kumpulan berkenaan.
Konsert dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri; Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Aminuddin Hassim; Pengetua Sekolah Seri Puteri, Julaila Yahya dan Presiden KSIB, Shah Rizal Jazib.




Comments