Tahanan rumah Najib: Jabatan Penjara sedang gubal peraturan - Saifuddin


Tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak hanya akan berjalan setelah bayaran denda RM50 juta yang ditetapkan telah dibayar, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Jabatan Penjara Malaysia, bertanggungjawab melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung isu bekas Perdana Menteri itu.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Penjara kini berada pada fasa akhir menggubal peraturan dan syarat pelaksanaan susulan arahan yang diterima daripada Urus Setia Lembaga Pengampunan.
"Kita sudah pun menerima surat daripada Urus Setia Lembaga Pengampunan. Dalam surat itu dia sebutlah apakah keputusan Lembaga Pengampunan dan apakah pula syarat-syarat.
"KDN, khususnya Jabatan Penjara, adalah pelaksana kepada keputusan itu. Jelas. Keputusan siapa? Keputusan Lembaga Pengampunan," katanya menjawab soalan wartawan dalam sidang media di Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Agensi Anti Dadah Kebangsaan di Besut, Terengganu.
Saifuddin berkata, penggubalan peraturan itu perlu dilakukan kerana mekanisme tahanan rumah belum pernah dilaksanakan sebelum ini di Malaysia.
"Di dalam surat itu juga Jabatan Penjara dikehendaki untuk menggubal satu peraturan, syaratlah. Sebab dia tak pernah ada. Tiba-tiba ada. Jadi dia mestilah dipandu oleh satu penggubalan syarat dan peraturan," katanya.
Beliau berkata, arahan berkenaan meletakkan tanggungjawab kepada Jabatan Penjara untuk menyediakan peraturan yang diperlukan, dan proses itu kini hampir selesai.
Mengulas mengenai pelaksanaan keputusan tahanan rumah, Saifuddin menjelaskan ia hanya akan berkuat kuasa apabila bayaran denda RM50 juta dibuat.
"Dan bila itu akan terlaksana? Apabila bayaran RM50 juta dibuat. Sekarang sudahkah dibayar? Belum. Belum lagi dibayar.
"Jadi belum dibayar, maksudnya individu berkenaan masih berada di penjara, kan? Jadi tugas kita apa dia? Bangunkan satu set peraturan yang sekarang sedang kita susun," katanya lagi.




Comments